Rabu, 11 November 2015 | 6:01pm
AKSI persembahan peserta, Siti Nordiana pada Konsert Gegar Vaganza 2015. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Nana kawal emosi nyanyi lagu, terkenang arwah Achik

RAMAI yang memuji persembahan penyanyi Siti Nordiana bersama vokalis kumpulan Kristal, Razlan yang mendendangkan lagu Memori Berkasih pada konsert program Gegar Vaganza 2 (GV2) yang berlangsung di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu.

Persembahan Siti Nordiana yang turut dikenali sebagai Nana sememangnya dinantikan khalayak di auditorium mahupun di rumah kerana lagu berkenaan yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Di sebalik semua itu, penyanyi ini memberitahu beliau sebenarnya berperang dengan emosi kala mahu menyampaikan lagu itu yang nyanyian asalnya ialah bersama Allahyarham Achik dari kumpulan Spin.

"Saya akui bukan mudah untuk melakukannya, malah beberapa kali saya menangis ketika sesi latihan kerana lagu ini banyak membawa memori kepada saya ketika sama-sama menjadi pasangan duet kepada arwah.

"Saya berusaha untuk melawan perasaan dan mahu berikan yang terbaik kerana saya dedikasikan lagu ini kepada arwah," katanya ketika ditemui BH Online.

Beliau berkata, susunan muzik itu juga memang sengaja dikekalkan kerana tidak mahu ia lari dari apa yang pernah disampaikan bersama Achik.

Katanya, lagu itu banyak memberikan makna kepadanya sepanjang bergelar penyanyi serta kisah peribadi dirinya satu ketika dulu.

"Kami memang kawan rapat dan kehilangannya juga sangat dirasai," katanya yang mendendangkan lagu berkenaan dengan penuh perasaan.

Persembahan Nana bersama Lan pada malam berkenaan turut dibantu penonton yang menyanyi bersama tanpa perlu diminta untuk berbuat demikian.

Nana berkata, beliau juga tidak ada masalah menyampaikan lagu itu bersama Lan yang juga kawan rapatnya.

Pada persembahan minggu ke empat GV2 dengan tema Berdua Lebih Baik itu menyaksikan Sheeda tersingkir dari meneruskan cabaran.

Sheeda kala ditemui berkata, beliau sentiasa bersedia setiap minggu untuk disingkirkan, namun sentiasa berusaha memberikan persembahan terbaik.

"Saya menjadi diri saya dan menyahut cabaran yang diberikan," katanya.

Mengakui jiwanya sudah serasi dengan genre dangdut, penyanyi ini bagaimanapun mendapatkan suntikan baharu dan yakin untuk membawakan lagu dari irama lain selepas menyertai GV2.

"Selama 20 tahun saya hanya dengan dangdut, saya tidak sangka boleh juga nyanyi lagu irama lain," katanya.

308 dibaca
Berita Harian X