Rabu, 11 November 2015 | 2:35pm

Tukang paip dipenjara, denda cederakan isteri

KUALA LUMPUR: Akibat mencederakan isterinya yang disyaki curang, seorang tukang paip hari ini dihukum penjara tiga minggu dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman itu terhadap M Aridass, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah mencederakan K Setara, 34, menggunakan sebatang besi.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Dia gagal membayar denda itu.

Aridass didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Antoi, Kepong Baru, Sentul di sini pada 1 pagi semalam, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah ketika kejadian, dia hanya 'mabuk sedikit' dan mencederakan isterinya yang didakwa mempunyai lelaki lain.

Majistret Saifulakmal berkata, tertuduh tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu kerana mangsa merupakan seorang wanita.

"Kalau saya ada perempuan lain, boleh ke isteri saya pukul saya?" katanya menyebabkan tertuduh terdiam.

Mengikut fakta kes, Aridass pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan berlaku pertengkaran dengan mangsa apabila tertuduh menuduhnya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Takut dengan tertuduh yang sedang marah, mangsa masuk ke dalam bilik dan diikuti oleh tertuduh lalu memukulnya dengan sebatang besi di dahi sehingga berdarah menyebabkan mangsa menerima lapan jahitan di dahi dan lebam di belakang badan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal.

- BERNAMA

Berita Harian X