Selasa, 10 November 2015 | 9:51am

Moyes kena pecat lagi

MOYES ketika diperkenalkan sebagai pengurus Real Sociedad yang baharu di Stadium Anoeta, San Sebastian pada November tahun lalu. - Foto AFP

MADRID: Bekas pengurus Everton dan Manchester United, David Moyes dipecat oleh Real Sociedad pada Isnin selepas gagal melonjakkan kelab dari Basque itu dalam saingan La Liga musim ini.

Kelab itu dalam kenyataannya berkata: "Real Sociedad mengambil keputusan untuk membatalkan kontrak jurulatih pertama pasukan, David Moyes.

"Kelab mengucapkan terima kasih kepada beliau...atas segala yang dilakukannya untuk kelab, profesionalisme dan dedikasinya sepanjang menjalankan tugasnya,".

Bekas pembimbing pasukan simpanan Barcelona, Eusebio Sacristan dilantik mengisi tempat warga Scotland itu selepas menandatangani kontrak sehingga Jun 2017.

Moyes membimbing kelab San Sebastian itu pada November tahun lalu selepas tujuh bulan dipecat oleh United, susulan kegagalannya dalam kempen pertama sebagai pengurus berikutan persaraan Alex Ferguson.

Pada musim itu, United gagal buat pertama kalinya berada dalam empat terbaik Liga Perdana Inggeris sejak 24 tahun lalu.

Jumaat lalu, Sociedad tewas 2-0 kepada pasukan baharu dinaikkan ke La Liga, Las Palmas sekali gus meletakkan kedudukan pasukan itu setangga dari zon penyingkiran, dibezakan dengan jumlah jaringan selepas hanya mampu menghimpun sembilan mata menerusi 11 perlawanan.

- AFP

Berita Harian X