Selasa, 10 November 2015 | 7:15am

Terima hakikat kenaikan kos sara hidup masalah global

SEKARANG, apabila ada yang berkumpul, antara yang menjadi topik utama dibincangkan ialah kenaikan kos sara hidup. Memang tidak dinafikan perbelanjaan untuk sara hidup kini semakin tinggi.

Bagi yang bekerja, belanja makan tengah hari sahaja kini sekitar RM10. Duit belanja anak sekolah pun sekarang tidak cukup lagi kalau sekadar RM2 atau RM3, tetapi sekurang-kurangnya RM5 seorang.

Bayangkan jika ada tiga atau empat anak yang masih bersekolah. Bagi yang menggunakan jalan bertol, kenaikan kadar tol baru-baru ini tentu menambahkan lagi perbelanjaan.

Kepada yang merokok, jika tidak dihentikan tabiat itu atau sekurang-kurangnya mengurangkan bilangan yang dibakar setiap hari, kesannya kepada perbelanjaan harian amat mereka rasakan.

Jika seorang perokok menghabiskan sekotak sehari - sebulan 30 kotak. Dengan kenaikan harga RM3.20 sekotak, maknanya mereka perlu berbelanja tambahan RM320 sebulan.

Apabila bercakap mengenai kenaikan kos sara hidup, yang menjadi sasaran semestinya kerajaan. Kerajaan dituduh menjadi puncanya apabila mengurangkan atau menghentikan subsidi bagi barangan atau perkhidmatan yang selama ini harganya rendah kerana disubsidi.

Malah, sesetengahnya seperti minyak dikatakan menjadi penyebab kenaikan harga barang dan perkhidmatan lain. Ini pun tidak boleh dinafikan, tetapi ada kalanya kita perlu realistik.

Minyak umpamanya, kerajaan boleh terus memberi subsidi besar untuk memastikan harga kekal rendah, tetapi bebannya tentu bertambah setiap tahun mengambil kira pertambahan bilangan penduduk.

Pada tahun 2000, penduduk negara ini hanya sekitar 23 juta, tetapi jumlahnya sekarang sudah mencecah 30 juta dan ia bertambah pada kadar sekitar dua peratus setahun.

Jika setiap penduduk purata menggunakan seliter minyak sehari sahaja, maka minyak yang perlu disubsidi kerajaan sudah bertambah tujuh juta liter sehari. Ini belum diambil kira perubahan gaya hidup yang menyaksikan peningkatan penggunaan bahan api itu.

Purata harga minyak dunia pada tahun 2000 pula hanya sekitar AS$30 setong berbanding AS$50 setong sekarang.

Justeru, jika kerajaan mahu terus memberi subsidi besar untuk minyak dan pelbagai barang dan perkhidmatan lain, ia ada dua pilihan. Pertama, potong belanja pembangunan dan kecilkan sektor kerajaan bagi mengurangkan belanja pengurusan.

Tetapi jika ini dilakukan orang ramai juga akan marah kerana tiada pembangunan, manakala mutu perkhidmatan awam terjejas. Tiada pembangunan bermakna tiada pertumbuhan ekonomi yang tentu memberi kesan lebih buruk kepada kita sebagai rakyat.

Kedua, terus menambah hutang bagi menampung belanja subsidi itu yang bermakna kita senang sekarang, tetapi sengsara kemudian. Berkaitan kenaikan kos sara hidup, ada yang berpendapat penyelesaiannya ialah dengan menaikkan pendapatan rakyat.

Maksudnya menaikkan gaji kakitangan awam dan swasta, sementara petani di luar bandar pula dibayar lebih tinggi bagi hasil pertanian mereka.

Nampak mudah, tetapi hakikatnya jika gaji dinaikkan tanpa perubahan dalam produktiviti, ia akan menyumbang kepada kenaikan harga lebih besar kerana perlu diingat, gaji adalah antara kos terbesar mana-mana organisasi dan juga syarikat.

Jika petani dibayar lebih tinggi bagi hasil pertanian mereka pula, maka harga di pasaran akan meningkat. Sebenarnya masalah kenaikan kos sara hidup ini bukanlah isu Malaysia sahaja, tetapi global yang berkaitan perkara asas ekonomi, iaitu penawaran dan permintaan.

Berita Harian X