Isnin, 9 November 2015 | 10:23pm

KKLW sentiasa utama bidang keusahawanan


MENTERI Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Mohd Fadli Hamzah

TAWAU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sentiasa memberi keutamaan terhadap bidang keusahawanan dengan menyediakan pelbagai program dan bantuan pinjaman.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam usaha membantu usahawan khususnya di luar bandar, pihaknya menyediakan pelbagai bantuan termasuk pinjaman Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

"Dengan adanya pinjaman ini pengusaha Bumiputera luar bandar dapat memulakan perniagaan, sekali gus dapat meningkatkan bidang ekonomi luar bandar.

"Ia juga dapat meningkatkan perusahaan yang diceburi pengusaha Bumiputera luar bandar supaya lebih berdaya maju, berdaya tahan dan mempunyai komitmen yang tinggi," katanya ketika merasmikan Program Membara Anjuran Biro Ekonomi dan Keusahawanan UMNO Bahagian Tawau, di sini malam ini.

Ismail Sabri berkata dana yang disediakan oleh kerajaan melalui KKLW mencukupi untuk para usahawan memulakan sebarang perniagaan.

"Oleh itu kami berharap para usahawan mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan peluang yang disediakan KKLW," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata KKLW juga membantu usahawan desa untuk memasarkan produk mereka sehingga ke luar negara.

"Ia adalah program yang kami sediakan untuk mengantarabangsakan produk yang dihasilkan usahawan desa," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri meminta agar rakyat terus bersatu padu untuk menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya segala perancangan untuk membantu rakyat khususnya di kawasan luar bandar dapat diteruskan.

"Kita perlu pastikan BN terus memerintah. Oleh itu kita perlu sokongan padu daripada rakyat, terutamanya sokongan kepada Perdana Menteri," katanya.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Nilwan Kabang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal.

-- BERNAMA

Berita Harian X