Isnin, 9 November 2015 | 7:27pm

Ahli farmasi berlesen, pengamal perubatan berdaftar boleh jual e-liquid

ANTARA perisa rokak elektronik atau e-cigarette yang terdapat di pasaran. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

PUTRAJAYA: Cecair elektronik (e-liquid) yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual oleh ahli farmasi yang berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, cecair itu mesti didaftarkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1954, Akta Jualan Dadah 1952 dan penjualannya perlu direkodkan.

"Mengikut Akta Racun 1952, penjualan nikotin oleh pihak lain adalah salah di sisi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Noor Hisham hari ini mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas mengenai rokok elektronik (e-rokok) dan vape yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan bagi mengkaji aspek penguatkuasaan dan mekanisme kawalan terhadap penggunaan alat itu di negara ini.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman; Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Chong Chee Kheong dan beberapa pakar dari bidang respitori.

Hisham berkata, pada 30 Oktober lalu, Kabinet sudah memutuskan untuk tidak mengharamkan rokok elektronik dan vape, namun cecair elektronik yang mengandungi nikotin dan lain-lain bahan di bawah Jadual Racun adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X