Jumaat, 3 Oktober 2014 | 11:44pm
PEMAIN Felda United, Edward Junior Wilson (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2014 menentang Selangor di Stadium Shah Alam, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PENYERANG Kelantan, Forkey Doe diasak pertahanan Kedah pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohd Ke IV, Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri

Piala Malaysia: FELDA baham Selangor, Kelantan dapat modal selesa

KUALA LUMPUR: Bekas juara, Kelantan dan FELDA United mendapat modal selesa apabila merakamkan kemenangan dalam perlawanan suku akhir pertama, Piala Malaysia, malam ini.

The Red Warriors mengatasi Kedah 3-1 di Stadium Sultan Muhammad manakala FELDA meratah Selangor 4-0 di Stadium Shah Alam.

Dua lagi perlawanan lain pada peringkat sama berakhir dengan keputusan seri. Pahang seri 1-1 ketika menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-1 di Stadium Darul Makmur manakala Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (JDT) terikat 0-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin.

Perlawanan suku akhir kedua akan diadakan pada 10 dan 11 Oktober ini.

Di Kota Bharu, Kelantan beraksi garang dalam keadaan hujan renyai dan berjaya mendahului seawal minit ketujuh apabila Francis Forkey Doe menanduk masuk sepakan penjuru daripada Badhri Radzi.

Forky Doe menambah lagi derita Kedah pada minit ke-24 selepas penyerang Liberia itu menyambut baik lorongan daripada Brendan Gan yang memperdayakan benteng lawan.

Selepas rehat, Ahmad Fakri Shaarani menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-61 tapi Kedah mengurangkan defisit apabila pemain gantian, Syafiq Ahmad membuat rembatan deras menembusi gawang tuan rumah dikawal ketat Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-71.

FELDA United hebat di Stadium Shah Alam dan mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi penyerang import, Makeche Ndumba pada minit ke-22 dan Edward Junior Wilson (minit ke-45).

Selepas rehat, pelawat terus garang dan menambah gol ketiga sekali lagi menerusi Makeche Ndumba pada minit ke-83 dan selang dua minit kemudian, Makeche Ndumba akhirnya melengkapkan hatrik apabila merembat masuk gol keempat FELDA United untuk membawa pulang modal selesa.

Di Kuantan, Pahang harus menyalahkan diri melepaskan beberapa peluang terbaik untuk merakamkan kemenangan di laman sendiri tetapi terpaksa akur dengan seri 1-1 ketika menentang PDRM.

Perlawanan turut menjadi kecoh seketika apabila tuan rumah terpaksa bermain berbekal 10 pemain selepas penjaga gol, Mohd Nasril Nourdin dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Ashtaq Ali di luar kotak penalti.

Apa pun, pelawat mendahului pada minit ke-40 menerusi Fauzi Abdul Hamid dan Pahang tertekan dengan terdesak mencari gol penyamaan.

Keringat anak didik Zainal Abidin Hassan berbalas apabila Dickson Nwakaee menyamakan kedudukan pada minit ke-55 selepas bijak memperdayakan benteng pelawat sebelum merembat deras bola menerjah jaring.

Di Kuala Terengganu, Terengganu gagal mencari bekalan jaringan apabila diikat 0-0 ketika menentang JDT.

Berita Harian X