Ahad, 8 November 2015 | 3:49pm

Murid ditemui lemas di Kuala Kedah

ALOR SETAR: Mayat seorang murid tahun tiga ditemui di Sungai Kubang Rotan, Kuala Kedah pada jam 10.50 pagi tadi, dipercayai lemas selepas terjatuh di situ semalam.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Penguasa Bomba Abdul Razak Ahmad berkata mayat Mohd Wafi Abu Bakar, 9, ditemukan kira-kira 100 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

"Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap di bawah rimbunan pokok buluh oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani," katanya kepada Bernama hari ini.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat, katanya.

Abdul Razak berkata operasi menyelamat turut disertai 19 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan penduduk kampung.

-- BERNAMA

Berita Harian X