Ahad, 8 November 2015 | 9:58am
SEORANG jurutera maut apabila kereta dipandunya terbabas di Kilometer 252.1 LPT2 berhampiran Hentian Rehat Dan Rawat Perasing, Jabor, malam tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Jurutera maut kereta terbabas di LPT2

CHUKAI: Seorang jurutera maut apabila kereta dipandunya terbabas di Kilometer 252.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 ( LPT2 ) berhampiran Hentian Rehat Dan Rawat Perasing, Jabor, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 10.45 malam, Muhammd Faizol Mohammad, 26, yang bekerja di sebuah syarikat petrokimia di Kertih, dikatakan dalam perjalanan pulang dari Seremban ke rumahnya di Kemasek.

Difahamkan setibanya mangsa di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya sebelum merempuh tembok konkrit jambatan Sungai Perasing.

Rempuhan kuat terbabit menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaannya dan mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian, mangsa memandu bersendirian dalam keadaan jalan lurus tetapi basah akibat hujan.  

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Berita Harian X