Ahad, 8 November 2015 | 12:17am
HAIZA ketika membuat persembahan pada konsert Gegar Vaganza musim kedua di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). - Foto Shazreen Zamzuri
HAIZA menggunakan peluang beraksi di pentas Gegar Vaganza untuk membuktikan dia mampu membawa lagu genre lain. - Foto Owee Ah Chun

Haiza tak rela sisih dangdut



BIARPUN memperjuangkan muzik dangdut dipandang rendah oleh segelintir pihak, Haiza tetap tegas dengan pendirian mengangkat genre itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug itu mula membabitkan diri dalam dunia nyanyian sejak 1995 dan boleh dikategorikan sebagai artis yang setia dengan genre itu.

Haiza antara pelopor yang bermula dengan irama itu semasa zaman kegemilangan dangdut tanah air sebaris dengan nama-nama lain seperti Zaleha Hamid, Amelina, Mas Idayu, Ifa Raziah, Ani Mayuni serta Iwan.

"Jujurnya, saya tidak terkilan walaupun masyarakat hanya mengenali saya kerana satu lagu itu (Dag Dig Dug). Kejayaan yang dihasilkan daripada satu lagu seperti itu adalah rezeki yang dinanti-nantikan oleh semua artis, ia umpama 'killer song' buat mereka.

"Lagu ini masih diminati ramai, bukan saja oleh penggemar dangdut, malah generasi muda yang berusia belasan tahun juga masih menyanyikannya. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk menyuntik semangat baharu ke dalam irama ini, iaitu secara memperkenalkannya semula kepada generasi baharu," katanya kepada BH PLUS.


HAIZA sertai Gegar Vaganza musim kedua. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Walaupun pernah menceburi pelbagai bidang seni antaranya pengacaraan, lakonan dan kini bergelar penyampai radio, namun masih ada pihak yang memandang rendah pada kebolehan Haiza berkarya dan menganggap vokalnya terhad kepada muzik dangdut semata-mata.

Sepanjang pembabitannya, pemilik suara serak-serak basah itu pernah menghasilkan lapan album dengan tiga daripadanya album projek khas. Ibu kepada seorang cahaya mata itu memiliki hampir 50 buah lagu.

Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 35, berkata, peluang yang diberikan oleh pihak Astro sebagai salah seorang peserta untuk program Gegar Vaganza musim kedua adalah peluang keemasan yang tidak seharusnya dilepaskan begitu saja.

Beliau yang kini bertugas sebagai penyampai radio Best FM di Johor mengakui penat berulang alik setiap minggu untuk melunaskan tanggungjawab sebagai peserta Gegar Vaganza namun menguatkan kudrat demi masa depan kerjaya seninya.

"Memang penat kerana terpaksa berulang alik setiap minggu dari Johor ke Kuala Lumpur kerana komitmen sebagai penyampai radio. Namun, saya tekad bahawa pengorbanan ini berbaloi dan akan membuahkan hasil.


PENYANYI Haiza popular dengan lagu Dag Dig Dug. - Foto Munira Abdul Ghani

"Saya bersama dengan Best FM mengendalikan segmen Best Pagi bermula pada jam 6 hingga 10 pagi. Ia adalah waktu puncak dalam bersiaran. Saya perlu bangun seawal jam 4.30 pagi dan perlu tiba di konti sebelum jam 5.30 pagi.

"Saya tidak terkilan apabila ada pihak yang memandang rendah kebolehan saya untuk menyanyikan lagu-lagu irama lain. Saya akan menggunakan peluang beraksi di pentas Gegar Vaganza sebaik-baiknya dan membuktikan vokal saya bukan sekadar terhad kepada muzik dangdut saja.

"Saya tidak pernah menyesal menjadi seorang penyanyi dangdut kerana walaupun irama itu sudah tidak segah seperti dulu, namun masih mempunyai golongan peminat tersendiri.

"Irama dangdut mempunyai maksud mendalam buat diri saya, bukan saja perjuangan diri, malah bagi meneruskan perjuangan penyanyi dangdut generasi lalu. Biarlah walau ada yang meminggirkan irama itu, namun ia tetap sebati dalam jiwa saya," kata Haiza.

Biarpun dipandang rendah oleh sesetengah pihak, Haiza menjelaskan, muzik dangdut mempunyai pasaran dan peminat tersendiri. Beliau sendiri sering menerima undangan persembahan terutama pada hujung minggu sama ada dalam majlis tertutup atau makan malam.

"Saya tidak ambil pusing dengan kata-kata negatif yang dilemparkan terhadap muzik dangdut yang diperjuangkan ini. Di Malaysia, kita boleh bilang berapa ramai penyanyi dangdut yang masih aktif dan memberi ruang kepada saya untuk terus berkarya," katanya.

52 dibaca
Berita Harian X