Sabtu, 7 November 2015 | 8:10pm

UMNO Terengganu sedia tampil calon wanita PRU-14

KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu sedia menampilkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika ia mampu meraih sokongan dan memenangi kerusi yang ditandingi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, bagaimanapun berkata individu berkenaan perlulah berwibawa.

"Saya tiada masalah meletakkan calon wanita. Cuma apa yang saya mahukan calon boleh menang tidak kira siapa dia, walaupun calon itu veteran ataupun muda kerana kita mahu menang.

"Kalau katakan hari ini, semua memerlukan calon wanita, maka calon wanitalah akan disenaraikan tetapi kita perlu cari kemenangan sebab keadaan politik di negeri ini sekarang 17-15...majoriti mudah ini, kita tiada pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Himpunan Jemaah Wanita Islam Terengganu sempena Maal Hijrah 1437H/2015M, bertemakan 'Tautan Ukhwah Pemangkin Transformasi Terengganu Baharu' di Stadium Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ahmad Razif berkata sokongan dan penentuan rakyat lebih tertumpu kepada calon berbanding parti, manakala parti pula diibaratkan sebagai pemangkin kepada setiap kejayaan ketika PRU akan datang.

Menteri Besar Terengganu itu berkata segala keputusan yang dilaksanakan oleh UMNO nanti, perlu menepati kehendak pengundi sama ada dari aspek parti, calon dan juga kestabilan ekonomi.

Dalam pada itu, Shahrizat menyokong dan menghormati prinsip Ahmad Razif dan UMNO Terengganu yang tetap membuka ruang untuk menampilkan calon wanita pada PRU akan datang.

"Kita akan kemukakan nama-nama wanita yang berwibawa dan boleh menjadi calon boleh menang di Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X