Sabtu, 7 November 2015 | 7:03pm

Meninggal ketika mendaki Gunung Jerai


SEORANG lelaki berusia 33 tahun meninggal dunia dipercayai akibat kepenatan selepas melakukan aktiviti pendakian di Laluan Tangga Kenari ke Puncak Gunung Jerai, Mangsa Mohd Firdaus Mohamad Noor berasal dari Kampung Darat Benta, Mukim Kedawang, Langkawi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Yan. - Foto Ihsan JBPM

GURUN: Seorang lelaki berusia 33 tahun meninggal dipercayai akibat keletihan selepas mendaki laluan tangga Kenari ke puncak Gunung Jerai, di sini, tengahari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Mohd Firdaus Mohamad Noor yang berasal dari Kampung Darat Benta, Mukim Kedawang, Langkawi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Yan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fisol Osman berkata, selepas menerima laporan pada kira kira jam 1.01 tengah pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan membawa mangsa yang dipercayai pengsan ke sebuah hotel berhampiran sebelum meminta bantuan daripada Hospital Yan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.42 petang tadi. Kes ini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat keletihan ketika melakukan pendakian bersama 12 lagi rakannya.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi memastikan punca sebenar kematian.

44 dibaca
Berita Harian X