Sabtu, 7 November 2015 | 8:35am

Nasib Mourinho, harapan Arsenal-Spurs jadi tumpuan


Jose Mourinho.

Minggu ini 10 lagi aksi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan berlangsung, namun perhatian tentunya tetap bertumpu kepada nasib pengendali hebat Chelsea, Jose Mourinho yang berdepan ancaman dipecat.

Setakat malam tadi, pengurus yang menggelarkan dirinya The Special One itu masih melatih skuad The Blues bagi menghadapi Stoke City di Stadium Brittania, pada jam 1.30 pagi waktu Malaysia.

Minggu lalu, Mourinho dilapor berdepan detik sukar selepas Chelsea kecundang lagi. Ia kali keenam daripada 11 aksi. Dan tambah membuat lembaga pengarah dan penyokong mereka bertambah berang, kekalahan di tangan Liverpool itu berlaku di laman sendiri.

Pencapaian itu menyebabkan juara bertahan berkenaan hanya mampu menghimpun 11 mata untuk sekali gus berada di tangga ke-14 dan empat mata di zon penyingkiran. Mereka kini ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.

Pun begitu, pada pertengahan minggu ini, Mourinho dilihat sedikit sebanyak berjaya meredakan tekanan ke atas dirinya, apabila Chelsea menumpaskan Dynamo Kiev dalam saingan Liga Juara-Juara pada aksi di laman sendiri.

Dan pada perlawanan berkenaan, dia mendapat sokongan terbuka daripada penyokong skuad The Blues untuk meneruskan tugasnya membimbing juara bertahan EPL itu.

Namun pada aksi menentang Stoke awal pagi esok waktu Malaysia, Mourinho tidak akan duduk di bangku simpanan selepas digantung satu perlawanan gara-gara keceluparan mulutnya mengkritik pengadil, Robert Madley pada 3 Oktober lalu.

Penulis menjangkakan aksi sengit, namun Chelsea dan Mourinho harus lebih ceria.

Sementara itu, satu lagi perlawanan tumpuan minggu ini adalah membabitkan dua seteru lama di London - Arsenal dan Tottenham Hotspur. Kedua-dua pasukan itu ketika ini mengungguli lima kedudukan teratas EPL.

Selepas dibelasah 5-1 oleh Bayern Munich pada saingan Liga Juara-Juara, Arsenal harus bangkit untuk pulihkan maruah. Namun Arsene Wenger tentunya sedar, lawan mereka malam esok itu tidak akan mudah ditundukkan.

Pada aksi terakhir minggu lalu, Spurs menang 3-1 ke atas Aston Villa dan semalam, mereka menjinakkan Anderlecht, 2-1, dalam saingan Liga Europa dengan peledak mereka, Hary Kane terus mengganas. Saya jangkakan saingan ini berakhir seri.

Dalam pada itu, pendahulu carta EPL, City dijangka tiada masalah untuk terus mengukuhkan kedudukannya di persada, apabila berkunjung ke Villa Park bertemu pasukan tercorot, Aston Villa.

Begitu juga pencabar kejuaraan liga, Manchester United yang menerima kunjungan West Bromwich. Mereka yang menjinakkan CSKA Moscow, 1-0, di gelanggang sama pada saingan Liga Juara-Juara dijangka mampu mengutip mata penuh.

Liverpool juga harus lebih yakin raih tiga mata apabila beraksi di Anfield malam esok, ketika menyambut Crystal Palace selepas menang 3-1 ke atas Chelsea minggu lalu dan menjinakkan Rubin Kazan, 1-0 pada saingan Liga Europa semalam. Selamat menonton.

* Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH

RAMALAN MINGGU KE-12

Bournemouth 2 Newcastle United 0

West Ham United 1 Everton 1

Leicester City 2 Watford 0

Norwich City 1 Swansea City 2

Sunderland 0 Southampton 3

Manchester United 3 West Brom 1

Stoke City 1 Chelsea 3

Aston Villa 0 Manchester City 4

Liverpool 1 Crystal Palace 1

Arsenal 1 Tottenham Hotspur 1

Berita Harian X