Sabtu, 7 November 2015 | 7:23am

Prasarana mesra OKU di masjid masih kurang

PERSIDANGAN Meja Bulat Masjid Mesra OKU: Konsep dan Cabaran Pelaksanaannya di Malaysia, yang diadakan di Bangi, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee

Seorang lelaki memberitahu tidak pergi menunaikan solat Jumaat di masjid selama 20 tahun kerana tidak ada kemudahan disediakan untuk orang kurang upaya (OKU). Namun, imam yang dimaklumkan mengenai perkara itu berusaha membuat laluan untuk OKU dan sejak itu lelaki berkenaan ke masjid setiap Jumaat untuk berjemaah.

Itu antara maklumat yang diperleh hasil kajian dilakukan Humanities Research Cluster, Universiti Malaya (UM) yang dikongsi Dekan Kluster, Prof Dr Raihanah Abdullah, pada Persidangan Meja Bulat Masjid Mesra OKU: Konsep dan Cabaran Pelaksanaannya di Malaysia, yang diadakan baru-baru ini.

Pastinya banyak lagi luahan serta rasa tidak puas hati dalam kalangan OKU yang diperoleh daripada kajian dijalankan dan diharap ia diberi perhatian oleh pihak berkaitan.

Persidangan meja bulat itu anjuran bersama Majlis Dakwah Negara (MDN - YADIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Tempat ibadah secara umumnya dianggap sebagai tempat selamat dan sedia menerima sesiapa sahaja datang untuk beribadah atau melakukan urusan di sana, termasuk golongan kurang upaya atau mengalami kecacatan.

Malangnya, tidak semua tempat ibadah khususnya masjid atau surau untuk umat Islam di negara ini menyediakan prasarana mesra OKU, serta kemudahan peralatan yang diperlukan mereka untuk bersama mengikuti aktiviti di premis berkenaan.

Menurut Raihanah, dalam pembentangan menjurus kepada kebolehcapaian (aksesibiliti) dan kemudahan OKU untuk beribadah, ia sudah termaktub dari sudut undang-undang seperti Deklarasi Kaherah mengenai hak asasi manusia, Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974.

Oleh itu katanya, perlu ada kesungguhan untuk menunaikan hak OKU, termasuk hak untuk beribadah serta mengikuti aktiviti diadakan di masjid dengan menyediakan kemudahan diperlukan mereka dan lebih penting boleh dimanfaatkan sebaiknya.

"Ada sesetengah masjid menyediakan ramp untuk OKU tetapi tinggi dan ia tidak membantu. Ada juga masjid mempunyai lif tetapi tidak berfungsi, tempat letak kereta untuk OKU juga disalah guna sama ada kerana tidak nampak atau sengaja.

"Ini antara cabaran dihadapi OKU kerana walaupun ada kemudahan tetapi ibarat pameran kerana tidak boleh dimanfaatkan. Namun, tidak dinafikan ada masjid yang mempunyai semua kemudahan itu dan benar-benar membantu OKU. Malah ada menyediakan kasoot (sarung tayar) untuk kerusi roda," katanya.

OKU sukar akses masjid

Katanya, OKU bukan tidak mahu ke masjid tetapi disebabkan isu 'tidak mudah akses' menyebabkan mereka terpaksa melupakan hasrat untuk turut serta melakukan aktiviti bersama jemaah lain, termasuk mengikuti kelas pengajian yang dianjurkan.

Beliau berkata, masyarakat perlu disedarkan mengenai masalah dihadapi OKU supaya mereka dapat menyantuni golongan berkenaan, dengan memberikan haknya, termasuk dari aspek kemudahan untuk menunaikan ibadah.

Sebelum tahun 2010, keperluan OKU tidak diambil kira dalam reka bentuk bangunan, termasuk masjid kerana ia bukan mandatori, tetapi selepas SIRIM Berhad mengeluarkan Seni Bina dan Pengurusan Aset Masjid - Kod Amalan pada tahun 2014, ia menjadi rujukan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kod etika itu menetapkan keperluan untuk perancangan, reka bentuk dan operasi penyelenggaraan masjid. Ia juga menyediakan garis panduan bagi arkitek untuk merekabentuk masjid meliputi keperluan reka bentuk pada aspek kesejahteraan, keselamatan serta keselamatan pengguna.

Ini termasuk penyediaan kawasan wuduk untuk golongan normal, orang kurang upaya dan warga emas. Garis panduan itu juga menitikberatkan kepada pembinaan lestari dan keperluan untuk menyediakan bangunan cekap tenaga.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Arkitek JKR, Datin Mariani Mohd Suhud, berkata arkitek kini lebih peka dengan keperluan OKU dan memastikan setiap reka bentuk selamat serta tiada halangan untuk semua lapisan masyarakat.

Mengambil contoh reka bentuk masjid, ia melihat kepada fungsi utama bangunan itu sebagai pusat ibadah serta peranan lain seperti tempat untuk menyampaikan ceramah, perpustakaan yang menyediakan sumber rujukan serta aktiviti lain yang sesuai dianjurkan di masjid.

Kerjasama JKR, PBT, majlis agama

"JKR agensi yang merekabentuk dan bina masjid, tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT) atau majlis agama boleh melantik sendiri perunding untuk masjid yang ingin dibina mengikut peruntukan. Bagaimanapun JKR boleh berbincang mengenai kemudahan yang diperlukan pelanggan.

"Antaranya isu keselamatan, mudah capaian, penyediaan ramp, aset mudah alih seperti kerusi roda serta aspek kebersihan iaitu panduan dalam reka bentuk masjid, termasuk cara membersihkan satu-satu kawasan," katanya yang membicarakan mengenai konsep serta cabaran membina masjid mesra OKU.

Menurutnya, dari segi reka bentuk masjid juga wujud kekangan seperti kedudukan tapak yang sempit menyebabkan ruang solat menjadi kecil dan mengurangkan kapasiti jumlah jemaah, serta menjadikan ruang meletak kenderaan terhad khususnya pada waktu puncak.

Dari segi menyediakan kemudahan untuk OKU, selain memastikan ia mencukupi, peralatan itu hendaklah diselenggara dengan baik yang pastinya akan membabitkan kos. Pihak pengurusan masjid juga mengambil langkah keselamatan bagi mengelak kemudahan itu dicuri.

"Apabila ada kemudahan peralatan seperti kerusi roda atau kerusi mudah alih yang digunakan jemaah uzur ketika solat, maka perlu ada ruang untuk menyimpan bagi mengelak kecurian. Ia juga perlu diselenggara dengan baik bagi memastikan jangka hayat yang panjang," katanya.

Mariani berkata, JKR mengambil kira semua syarat ditetapkan bagi memenuhi keperluan OKU seperti ditetapkan dalam akta tetapi tidak dinafikan ia akan meningkatkan kos projek pembinaan masjid dan ini perlu diatasi terlebih dulu.

Kemudahan tak digunakan

Adalah penting untuk diambil perhatian jumlah masjid yang benar-benar mesra OKU sangat sedikit dan jika ada kemudahan disediakan, sering berlaku ia tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya seperti ramp terlalu tinggi hingga menyukarkan kerusi roda untuk ditolak naik.

Skrin ada tetapi teks khutbah tidak disiarkan untuk yang cacat pendengaran menghayati apa yang ingin disampaikan khatib, manakala bagi jemaah wanita pula ruang solat mereka selalunya di tingkat atas maka bagi yang uzur dan tidak berupaya menaiki tangga ini akan membantutkan niat untuk solat di masjid.

Tidak menolak usaha murni dilakukan pengurusan masjid memenuhi keperluan OKU, namun masih ada lagi ruang penambahbaikan bagi memastikan setiap mereka yang memiliki kecacatan mendapat hak datang ke masjid sama ada untuk beribadah, mendengar ceramah, mengikuti pengajian atau melakukan urusan lain.

Wakil Persatuan Autisme Malaysia, Hamidah Hassan, berkata dalam melaksanakan ibadah, anak istimewa tidak boleh dilupakan kerana walaupun kecacatan mereka tidak dilihat oleh mata kasar tetapi mereka tergolong dalam kumpulan memerlukan perhatian.

"Kita ingin membiasakan anak autisme beribadah, jadi kita mengharapkan persekitaran yang memahami keperluan mereka dan pada masa sama, masyarakat juga perlu mengubah sikap supaya golongan berkenaan berasa mereka juga sebahagian daripada jemaah masjid," katanya.

Sementara itu, Marzuki Ong yang cacat pendengaran berkata: "Di masjid rumah saya ada kuliah Maghrib, tetapi saya tidak dapat ikut kerana tidak ada jurubahasa untuk membantu," katanya.

Berita Harian X