Sabtu, 7 November 2015 | 12:06am

Mangsa kanser mampu hidup lama

JIKA ditanya kepada pesakit kanser apakah yang bermain di minda mereka sebaik doktor mengesahkan bahawa mereka menghidap kanser.

Pastinya hampir semua daripadanya akan memberikan jawapan yang sama iaitu mati.

Tanggapan itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana umum mengetahui di sebalik kecanggihan teknologi dalam bidang perubatan, kita masih belum menemui penawar kanser.

Sel luar biasa

Pakar Bedah Kanser Payudara Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Azlina Firzah Abdul Aziz, berkata kanser payudara adalah kanser yang paling kerap dikesan menyerang wanita di negara ini.

Kanser payudara, katanya, berlaku disebabkan ketumbuhan sel secara luar biasa di bahagian payudara.

"Serangan yang dikesan dalam peringkat awal boleh dirawat dan peluang untuk sembuh lebih tinggi. Semua jenis kanser mempunyai empat tahap. Untuk kanser payudara, ia mempunyai lebih 20 'subtype'.

"Secara puratanya, jika 'subtype' itu dikategorikan sebagai tidak begitu agresif, tidak merebak dan saiz sel kanser kurang daripada dua sentimeter, pesakit berada di tahap satu.

"Untuk pesakit di tahap satu, hampir 100 peratus berpeluang hidup selama lebih lima tahun. Malah, berdasarkan pengalaman saya, ada pesakit saya yang hidup selama berbelas tahun lamanya dan meninggal dunia disebabkan penyakit lain," katanya.

Lambat rawat, sel membesar

Dr Azlina Firzah berkata, ramai menyangkakan jika seseorang sudah membuang ketulan di payudara, mereka bebas daripada menghidap kanser payudara.

Sebenarnya, katanya, risiko mendapat kanser payudara masih ada, cuma jika pesakit datang untuk mendapatkan rawatan padat tahap satu, risiko untuk ketulan itu terjadi lagi dalam tempoh lima tahun semakin berkurangan.

"Tetapi yang menjadi masalah ialah pesakit suka tunggu. Tunggu dahulu, tidak mahu berjumpa doktor lagi, hendak cuba rawatan tradisional dan bermacam lagi alasan yang diberikan.

"Mereka tidak tahu jika lambat mendapatkan rawatan, saiz sel kanser menjadi semakin besar dan merebak ke organ lain seperti hati, paru-paru dan tulang.

"Apabila kita dapati sel kanser sudah merebak dan saiznya melebihi lima sentimeter, kita akan dikategorikan pesakit berada dalam tahap empat," katanya.


TAN Sri Rafidah Aziz (empat dari kiri) dan Perunding Bedah Payudara Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Azlina Firzah (tiga dari kiri) bergambar dengan bekas pesakit barah payudara pada kempen Wear It Pink.

Lima sentimeter kategori tahap empat

Dr Azlina Firzah berkata, apabila sudah berada pada tahap empat, beberapa rawatan akan dipertimbangkan seperti pembedahan membuang payudara, rawatan kemoterapi dan juga radioterapi bergantung kepada keadaan pesakit.

"Sebagai seorang yang berpengalaman dalam mengendalikan kes kanser payudara, saya menggalakkan wanita supaya menjadi lebih peka dengan payudara mereka.

"Lakukan pemeriksaan sendiri di rumah dan segera mendapatkan nasihat doktor jika mereka menyedari sesuatu yang ganjil berlaku," katanya.

Berita Harian X