Sabtu, 7 November 2015 | 12:01am
PEKERJA menggoreng mi tarik Restoran Mee Tarik Warisan Asli di Bandar Baru Bangi. - Foto Adi Safri
PENYELIA Restoran Mee Tarik Warisan Asli, Mohd Shaiful Abdullah. - Foto Adi Safri

Penangan ramen daging goreng Restoran Mee Tarik Warisan


MENU mi tarik Restoran Mee Tarik Warisan Asli di Bandar Baru Bangi. - Foto Adi Safri

SEORANG teman mempelawa penulis untuk mencuba mi tarik. Katanya sebelum mi itu dihidangkan kepada pelanggan, ia akan ditarik dulu.

Apakah yang dimaksudkan, mi akan ditarik?

Justeru, penulis berkunjung ke Restoran Mee Tarik Warisan Asli di Bangi, Selangor untuk menikmati makanan ini. Restoran itu sudah ada 11 cawangan dan menggunakan slogan, Mee Tarik Yang Paling Best Di Malaysia!

Memang kreatif slogan yang dipaparkan, sekali gus menambah keinginan penulis untuk mengetahui apa yang menarik sangat mengenai mi tarik itu.

Penulis dihidangkan dua menu istimewa yang wajib dicuba iaitu mi sup daging dan lamen goreng daging. Dalam bahasa Mandarin, lamen bermaksud mi.

Sekalipun mi sup daging adalah hidangan paling popular di restoran ini, namun yang benar-benar menambat selera penulis ialah lamen goreng daging. Memang sedap!

Penyelia restoran berkenaan, Mohd Shaiful, 34, yang berasal dari Bangladesh, namun sudah menetap dan bekerja di Malaysia lebih 10 tahun, berkata pemilik dan pengasas Restoran Mee Tarik Warisan Asli ialah Mohd Hassan atau lebih mesra dipanggil Abang Hassan, berasal dari daerah Lanzhou di wilayah Gansu, China iaitu satu daerah yang menempatkan ramai China Muslim.

Katanya, makanan paling popular di situ ialah mi daging atau lamian daging. Lamian bermaksud mi tarik. Ia menggunakan resepi tradisional Lanzhou. Abang Hassan membawa resepi dari China ke Malaysia dan berusaha untuk mempopularkan hidangan mi tarik di Malaysia.

Kini, jenama atau istilah mi tarik yang dibawakan Restoran Mee Tarik Warisan Asli semakin mendapat perhatian terutama daripada penduduk Lembah Klang.


PEKERJA menunjukkan cara pembuatan mi tarik Restoran Mee Tarik Warisan Asli di Bandar Baru Bangi. - Foto Adi Safri

Mi disediakan atas permintaan

Mohd Shaiful berkata, mi lazimnya dihasilkan menggunakan mesin, kadang-kadang akan mengeluarkan bau kurang menyenangkan sekiranya tidak dicelur dengan betul. Apabila dimakan, mi akan rasa seperti kapur.

Tapi, mi yang berasal dari Lanzhou dihasilkan secara tradisional. Kami menggunakan tepung yang diuli kepada beberapa bahagian kecil. Bahagian yang kecil itu pula perlu diuli lagi dan ditarik. Maka terhasillah mi tarik yang dibuat mengikut saiz tertentu.

"Mi yang digoreng, lazimnya agak besar atau dipanggil mi kasar, manakala yang dijadikan sup, mi berkenaan bersaiz lebih kecil atau dipanggil mi halus.

"Apabila ada pesanan daripada pelanggan, baharu mi tarik dihasilkan pada masa itu juga. Jadi, mi yang dihidangkan kepada pelanggan, adalah segar dan lebih kenyal. Kami tak buat mi tarik yang disediakan lebih awal kerana kualiti rasanya akan berkurang.

"Mi pula akan jadi liat, tak segar dan lembik. Apabila dihidangkan kepada pelanggan, pasti pelanggan merungut kerana rasanya tak sedap!," terang Mohd Shaiful.


PEKERJA menunjukkan cara memasak mi tarik sup di Restoran Mee Tarik Warisan Asli di Bandar Baru Bangi. - Foto Adi Safri

Nikmati teh herba istimewa

Mi sup atau mi goreng daging yang disediakan dicampur dengan herba istimewa. Apabila kita menikmatinya, aromanya lebih dirasai.

Selain mi tarik, Restoran Mee Tarik Warisan turut mempunyai menu istimewa lain yang berasaskan nasi. Paling mendapat sambutan ialah nasi cendawan dan daging goreng.

Selepas menikmati mi tarik atau nasi, mereka perlu mencuba 'toothpick lamb' sebagai pelengkap hidangan. Ia adalah kepingan daging kambing yang dihiris kecil lalu dicucuk menggunakan lidi kecil. Rasanya agak masin, tapi sekali cuba, pasti hendak tambah lagi!

Manakala minuman kesihatan yang paling mendapat sambutan di Restoran Mee Tarik Warisan Asli ialah China Ba Bao Tea yang mengandungi pelbagai ramuan herba istimewa yang diimport dari China.

"Selesai menikmati mi tarik atau apa saja hidangan kami, sebagai penutup atau pencuci mulut, pelanggan harus cuba China Ba Bao Tea. Minuman kesihatan ini mampu membantu menyejukkan badan, sekali gus mencerna sistem penghadaman.

"Lebih penting, makanan atau minuman di restoran kami, langsung tidak menggunakan perisa makanan atau minuman tiruan," kata Mohd Shaiful lagi.


PENYELIA Restoran, Mohd Shaiful Abdullah (dua dari kiri) bersama staf Restoran Mee Tarik Warisan Asli di Bandar Baru Bangi.- Foto Adi Safri

Info:

  • Restoran Mee Tarik Warisan Asli, cawangan Bangi
  • Alamat: No 3A-47-01, 3A-49-01, Jalan Medan, Seksyen 9, Pusat Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor
  • Waktu beroperasi: 10 pagi hingga 10 malam
  • No telefon: 03 9054 3209 atau 017 358 9168
  • Laman sesawang: www.meetarik.com
  • Face book (FB): facebook.com/Mee Tarik
  • Cawangan lain: Sungai Besi (ibu pejabat), Dang Wangi, Setapak, Shah Alam, Sri Gombak, KL Sentral, Kelana Jaya, Kota Damansara, Sogo dan Bukit Bintang
Berita Harian X