Jumaat, 6 November 2015 | 5:07pm

Bayi hidap jantung berlubang perlu bantuan


MUHAMMAD Rayyan Mikail Mohd Yazid, (kanan) yang menghidap penyakit jantung berlubang ditemani ibunya Annur Syakirah Mahazir, ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.- Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Seorang bayi berusia 10 bulan menghidap penyakit jantung berlubang, memerlukan bantuan orang ramai untuk membiayai kos membeli set mesin oksigen dianggar berjumlah RM10,000.

Muhammad Rayyan Mikail Mohd Yazid dari Kampung Padang Gelanggang, Kuala Nerang dikesan menghidap penyakit jantung berlubang, saluran pernafasan sempit dan saluran oksigen dan darah terbalik sejak berusia dua minggu.

Ibunya Annur Syakirah Mahazir, 20, berkata beliau bimbang apabila anak lelaki tunggal yang baru beberapa hari lahir itu tidak mahu menyusu selain pernafasan menjadi laju dan mukanya kelihatan biru.

"Saya perasan mukanya selalu kelihatan biru jadi saya dan suami, Mohd Yazid Lazim, 24, membawanya ke Hospital Kuala Nerang dan hasil pemeriksaan X-ray menunjukkan telah berlaku jangkitan kuman di dalam badannya."

"Beliau dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Jan lalu dan doktor mengesahkannya menghidap 'Complex Cyarotic Heart Disease and Chronic Lungs' dan pada Mac pembedahan untuk membesarkan saluran penafasannya telah dijalankan di Institut Jantung Negara (IJN)," katanya ketika ditemui hari ini.

Annur Syakirah berkata selepas menjalani pembedahan, anaknya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB selama lebih dua bulan dan kini terpaksa bergantung kepada mesin oksigen bagi memastikan pernafasannya normal.

Menurutnya, sepatut ada pembedahan kedua sebelum dia mencecah umur setahun tetapi ia tidak boleh dilakukan kerana berbahaya dan perlu menunggu dia mencapai umur dewasa dahulu.

Jadi memandangkan tiada apa yang boleh dilakukan, beliau berharap dapat membawa anaknya pulang selepas lebih 10 bulan berada di hospital, tetapi memerlukan mesin oksigen di rumah.

Kos untuk membeli mesin oksigen, tangki oksigen dan mesin membuang kahak dianggarkan berjumlah RM10,000, katanya.

Suaminya hanya bekerja kampung dengan gaji RM900 sebulan tidak mampu membeli mesin terbabit serta barangan keperluan yang lain seperti susu khas dan lampin pakai buang, katanya.

Orang ramai ingin membantu keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB milik Annur Syakirah Mahazir (7057753680) atau menghubunginya di talian 010-3787883.

--BERNAMA

Berita Harian X