Jumaat, 3 Oktober 2014 | 6:17pm

Sukan Asia: Danyal syor atlet wajib jalani ujian doping

INCHEON: Setiap atlet yang mengikuti latihan di luar negara wajib menjalani ujian doping sebelum mewakili kontinjen negara pada temasya sukan antarabangsa, demikian disyorkan ketua kontinjen negara di Sukan Asia, di sini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Beliau berkata langkah itu bagi mengelak berulang insiden pelucutan pingat emas atlet wushu wanita, Tai Cheau Xuen, selepas diuji positif mengambil bahan perangsang 'sibutramine' pada 20 September lalu.

Danyal yang juga naib presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan anggota lembaga Institut Sains Negara (ISN), berkata semua pihak termasuk persatuan sukan kebangsaan perlu memainkan peranan dalam memastikan atlet bersih daripada pengambilan bahan terlarang dalam sukan.

"Selain itu, persatuan sukan juga perlu melakukan saringan secara rambang serta memberi kuasa kepada ISN melakukan pemeriksaan ke atas atlet masing-masing," katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, sebelum ini, MOM, ISN dan Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) sering melakukan saringan dan ujian doping secara rambang ke atas atlet negara dan sampel ujian dihantar ke makmal ujian doping kebangsaan di New Delhi untuk dianalisis.

Sementara itu, Danyal berkata beliau masih menunggu alasan di sebalik alasan Jawatankuasa Sementara Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan Malaysia berhubung kes Cheau Xuen.

Katanya negara akan mengembalikan pingat itu secepat mungkin seperti dituntut oleh Majlis Olimpik Asia (OCA).

Selasa lalu, OCA memutuskan untuk menarik balik emas Cheau Xuen dalam acara gabungan nanquan dan nandao selepas atlet berkenaan gagal dalam ujian doping.

Sebagai rekod, pada Sukan Asia Busan 2002 berlaku kes membabitkan atlet Malaysia positif dadah apabila tiga pemain sepak takraw, Firdaus Abdul Ghani, Hanif Azman dan Aznan Raslan dihantar pulang selepas didapati positif morfin dan digantung dua tahun. - BERNAMA

Berita Harian X