Jumaat, 3 Oktober 2014 | 6:15pm

Elak eksport getah di bawah AS$1.50 sekilogram - LGM

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) meminta kerjasama pengeksport getah supaya tidak menjual getah asli di bawah harga AS$1.50 (RM4.88) sekilogram.

LGM berkata langkah itu selaras dengan saranan The International Rubber Consortium Ltd yang menggesa negara-negara anggota tidak menjual getah asli di bawah harga yang dinyatakan untuk menangani kejatuhan harga getah ketika ini.

"Kami yakin asas pasaran getah kekal stabil dan menggalakkan seperti mengikut laporan terkini yang dikeluarkan oleh International Rubber Study Group.

"Paras stok getah asli dunia merosot kepada kira-kira 2.55 juta tan pada Jun 2014 berbanding 3.01 juta tan hingga Disember 2013," kata agensi itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, harga getah terus turun hari ini berikutan ringgit yang lebih kukuh dan kebimbangan mengenai kelembapan pertumbuhan ekonomi negara pembeli utama, China, selain harga minyak mentah yang rendah, kata seorang peniaga.

Dalam satu nota, beliau berkata pengeluar Thailand dan Malaysia menyokong cadangan Indonesia untuk tidak menawarkan jualan getah asli kurang daripada AS$1.50 sekilogram berikutan harga semasa yang masih di bawah kos.

Penanda aras harga fizikal rasmi LGM pada tengah hari bagi gred tayar SMR 20 turun satu sen kepada RM4.55 sekilogram manakala lateks pukal susut 1.5 sen kepada RM3.72 sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi gred tayar SMR 20 turun 0.7 sen kepada RM4.54 sekilogram manakala lateks pukal turun 1.5 sen kepada RM3.71 sekilogram. - BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X