Jumaat, 6 November 2015 | 1:27am
PENYOKONG JDT terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer dengan diiring oleh pasukan polis, namun mereka tetap gembira kerana tiada perkara yang tidak diingini berlaku. - Foto Mohd Nazrulaswad

FRU berjaya elak pergaduhan antara penyokong Perak, JDT

ANGGOTA Pasukan Keselamatan membuat kawalan keselamatan bagi mengelakkan tercetusnya pergaduhan di kalangan penonton semasa perlawanan Perak bertemu JDT pada (TM) Piala Malaysia 2015 di Stadium Perak malam ini. - Foto BERNAMA

IPOH: Tindakan pantas anggota pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keadaan di pekarangan Stadium Perak di sini, berjaya mengelak berlaku pergaduhan antara penyokong pasukan tuan rumah dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

FRU bertindak mengarahkan penyokong Perak yang tidak berganjak di hadapan stadium supaya bersurai.

Bagi kira-kira 125 penyokong JDT pula mereka terpaksa menunggu lebih sejam di luar stadium sebelum berjaya keluar daripada pekarangan stadium sebaik perlawanan tamat. 

Mereka kemudian terpaksa berjalan sejauh hampir dua kilometer ke FRU Sungai Senam berdekatan stadium dengan dikawal ketat pasukan itu dan polis.  

Kesemua penyokong berjalan kaki ke unit berkenaan yang menempatkan kenderaan penyokong dan pemain.

Kesemua penyokong JDT kemudiannya menaiki dua bas serta dua van yang diletakkan di unit berkenaan kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi.  

Bas serta van dinaiki penyokong itu yang keluar dari unit berkenaan juga diiringi polis bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Berita Harian X