Jumaat, 6 November 2015 | 12:02am

Fesyen salah satu cara berdakwah



TUGAS pereka fesyen bukan saja terikat untuk mempersembahkan hasil rekaan yang mampu mengubah penampilan wanita sehingga kelihatan anggun, tetapi memainkan peranan penting dalam mengubah penggayaan industri fesyen tempatan.

Dewasa kini, kehadiran pereka fesyen tidak lagi dilihat sebagai pencetus gaya tetapi memikul tanggungjawab penting dalam mendidik masyarakat untuk tampil mengikut kesesuaian budaya dan agama.

Sejajar itu, tempias perkembangan fesyen Muslimah turut menghidupkan senario ramai pereka tempatan mula mengubah haluan sekali gus berjinak-jinak mengeluarkan koleksi khusus untuk wanita Islam.

Keghairahan pereka dan penggiat fesyen untuk menjadi pelopor dalam industri Muslimah moden sebenarnya boleh mengakibatkan kekeliruan pemahaman mengenai tujuan dan fungsi busana yang sewajarnya mematuhi syariat Islam.

Jangan jadi mangsa fesyen. Tidak salah jika berniat untuk mencipta revolusi dan mengangkat kedudukan fesyen tempatan ke mata dunia, tetapi jangan sampai tergadai imej sebenar wanita Islam.


WANITA perlu bijak menyuaipadan imej penampilan mereka dalam memilih pakaian supaya kelihatan lebih dihormati dan disegani. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bukan kaut keuntungan

Pengarah Kreatif The Cosry, Putra Aziz, berkata konsep fesyen Muslimah bukannya sekadar fesyen Muslimah pada nama atau peluang untuk pereka dan penggiat fesyen tanah air untuk mengaut keuntungan.

Pereka fesyen, katanya, persis penasihat peribadi dan pengantara kepada masyarakat dalam memperkenalkan konteks pemakaian meliputi garis pemakaian Islam.

"Apabila menjalankan perniagaan sudah tentulah kita memikirkan keuntungan. Tetapi fesyen juga dianggap sebagai antara cara untuk berdakwah.

"Tidak salah membawa perubahan dalam penampilan aura Muslimah, tetapi aspek menutup aurat itu harus difahami dan diamalkan sebelum menghasilkan sebarang koleksi.


PUTRA Aziz sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia rekaan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Ini yang membezakan antara pereka Islam daripada bukan Islam. Apabila pereka fesyen sendiri memahami konsep kewajipan menutup aurat, secara tidak langsung mereka juga menjadi contoh kepada pereka bukan Islam memahami landasan fesyen Muslimah yang tepat," katanya ketika menjadi ahli panel segmen bual bicara Refleksi Muslimah bertajuk 'Cabaran Fesyen Muslimah Dalam Era Digital', di Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015), baru-baru ini.

Majlis itu yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), pada 24 dan 25 Oktober lalu itu, turut membariskan pelakon Yana Samsudin dan bekas model, Suhara Omar yang turut berkongsi mengenai penghijrahan mereka yang kini tampil bertudung.

FMBH 2015 kali kedua itu dianjurkan akhbar BH bertujuan memartabatkan fesyen Muslimah tempatan turut disertai 100 vendor yang menjual pelbagai produk Muslimah.


PEREKA fesyen dan Pengarah Kreatif The Cosry, Putra Aziz (kanan) berkongsi pengalamannya pada Fiesta Muslimah BH 2015, baru-baru ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Faham sensitiviti agama

Putra yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia rekaan, berkata pereka fesyen perlu serius apabila menjahit baju dengan mengutamakan garis panduan pemakaian wanita Islam.

Katanya, fesyen Muslimah tidak hanya memakai hijab, tetapi rekaan juga perlu menitik beratkan beberapa faktor lain antaranya potongan busana, pemilihan fabrik, rona dan sensitiviti agama.

"Busana Muslimah perlu memilih fabrik, corak dan hasil rekaan yang sesuai, tidak melekat dan menampakkan susuk tubuh wanita Islam, sebaliknya perlu longgar," katanya.

Masih mendalami penggayaan mengikut Syariat, katanya ragam pelanggan yang ada mahu ikut cita rasa sendiri juga memberi tekanan kepada pereka fesyen sehingga mereka berada dalam situasi serba salah.

Ada yang pandang remeh

Hakikatnya, segelintir wanita Muslimah memandang remeh konsep sebenar menutup aurat dengan penampilan pakaian yang ketat, jarang dan menampakkan susuk badan.

"Kefahaman wanita mengenai konteks berhijab juga perlu diperbetulkan, mereka bukan sepatutnya menitikberatkan keperluan menutupi rambut saja, sebaliknya keseluruhan fesyen pakaian yang digayakan.

"Selain mengejar jenama, segelintir wanita Muslimah tidak kekok mengenakan busana sendat dan seketat-ketatnya hingga menampakkan susuk tubuh mereka.

"Ini bukan saja memberikan tanggapan negatif pada pemakai tetapi juga kepada pereka fesyen sendiri yang melahirkan idea dengan alasan ingin memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Putra berkata, faktor cantik dan menarik tidak terletak pada potongan busana menampakkan susuk tubuh tetapi penampilan sopan dapat membangkitkan aura wanita Muslimah.

"Pada saya, pandangan pertama sangat penting. Penampilan anggun tidak bermakna wanita perlu memilih pakaian mencolok mata tetapi cukup, sekiranya bijak menyuaipadan imej penampilan mereka.

"Jangan hilang keyakinan untuk tampil mengenakan busana longgar dan labuh. Realitinya, wanita Muslimah kelihatan lebih dihormati dan disegani jika bijak memilih identiti tersendiri," katanya.


PERTUNJUKAN fesyen tudung koleksi The Cosry pada Fiesta Muslimah 2015, baru-baru ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sedia bertahan dan bersaing

Dalam dunia perniagaan, antara perkara awal perlu diterapkan ialah daya ketahanan terhadap persaingan dalam industri fesyen.

Putra berkata, terpulang pada pandangan individu, sekiranya mereka berfikiran positif perkara itu akan memberi impak positif kepada diri sendiri, bahkan dapat membina pemikiran berdaya saing.

Katanya, persaingan sepatutnya menjadikan seseorang itu lebih gigih, berdaya saing dan komited.

"Kita tahu lambakan label fesyen lahir dalam alam maya mempunyai kuasa tarikan hingga menenggelamkan jenama fesyen sudah lama bertapak di negara ini.

"Namun, ini semua asam garam kehidupan. Jika tiada persaingan, kita mungkin leka kerana sudah berada dalam zon selesa," katanya.

Persaingan sihat

Perkara itu diakui Putra sendiri dan beliau melihat pertumbuhan pesat perniagaan fesyen atas talian turut menghidupkan persaingan sihat untuk perkembangan industri tempatan.

Katanya, persaingan antara penggiat fesyen baharu dan lama adalah sebagai pemangkin semangat dan motivasi untuk meningkatkan produktiviti masing-masing.

"Tidak dinafikan, kehadiran perniagaan dan label fesyen dalam laman sosial seperti Instragram dan Facebook menjadikan perniagaan butik fizikal agak terjejas.

"Namun, ia perlu dipandang pada sudut baik memandangkan tujuan sebenar persaingan adalah untuk mencabar potensi diri seseorang untuk melakukan lebih baik daripada sedia ada.

63 dibaca
Berita Harian X