Khamis, 5 November 2015 | 1:29pm

Neymar di prestasi terbaik, manfaat ketiadaan Messi


PENYERANG Barcelona, Neymar (tengah) bersaing merebut bola bersama dua pemain Bate Borisov, Dzianis Paliakou (kanan) dan Vitali Haiduchyk ketika perlawanan Liga Juara-Juara di Camp Nou, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

BARCELONA: Bintang Brazil, Neymar berkata dia berada di prestasi terbaiknya selepas meledak dua gol ketika Barcelona menewaskan BATE Borisov 3-0 dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Penyerang itu turut menjadi perancang kepada satu lagi gol Barca yang diledakkan Luis Suarez ketika penyandang juara itu hanya memerlukan satu lagi mata untuk mengesahkan tiket ke peringkat 16 terakhir.

Gandingan Neymar dan Suarez kini sudah menghasilkan 18 gol daripada kesemua 21 gol Barca sejak kehilangan pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan, enam minggu lalu.

Sekalipun Barca masih berharap Messi mampu kembali pulih sepenuhnya sebelum pertembungan menarik bertemu Real Madrid, dua minggu lagi, Neymar mengakui dia sedang menikmati masanya ketika ketiadaan bintang Argentina itu.

"Adalah jelas kami merindui Messi, namun saya berada di prestasi terbaik sepanjang hidup saya dan berharap ia berterusan seperti ini," kata Neymar kepada beIN Sports.

Neymar membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti sebelum mencetus gerakan yang disudahkan Suarez bagi menggandakan kelebihan Barca ketika permainan memasuki minit ke-60.

Suarez kemudian membalas budi penyerang Brazil itu apabila tidak tamak dan dengan melorongkan bola kepada Neymar yang mudah menjaringkan gol kedua peribadinya ketika permainan berbaki tujuh minit.

"Separuh daripada jaringan itu adalah milik Suarez. Dia adalah bintang dan prestasinya hebat," kata Neymar.

Pengendali Barca, Luis Enrique menegaskan tidak pernah meragui kemampuan jentera serangannya yang ketika ini dilihat 'terlalu' bagus.

"Saya tidak pernah meragui yang kami akan mendapat semula sentuhan membunuh dengan pemain-pemain yang kami letakkan di bahagian depan," katanya.

"Dengan kualiti dan peluang yang pasukan cipta, ia memang bukannya satu keraguan."

Kemenangan meletakkan Barca selaku pendahulu Kumpulan E selepas mengumpul 10 mata diikuti kelab Itali, AS Roma ketinggalan lima mata berbaki dua perlawanan. - AFP

Berita Harian X