Khamis, 5 November 2015 | 12:04am
VARIETI Cilibangi bersaiz sederhana, mempunyai daya tahan penyakit yang tinggi serta tahap kepedasan berbeza.
PESERTA CBB, Mohamad Naim Razali menunjukkan 100 polibeg anak pokok Cilibangi yang ditempatkan di laman rumahnya di Kampung Jawa, Klang.
SHARIFAH Nur Rahimah (kanan) memeriksa stok produk hiliran Cilibangi dengan petugas Serotech, Muhammad Amirul Akmal Kamarulzaman dan Nur Syazwani Abdul Wahab di Ladang Pendidikan Serotech, Beranang, Selangor. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
ANAK pokok Cilibangi disemai di Ladang Pendidikan Serotech, Beranang, Selangor untuk dipindah tanam di laman rumah peserta CBB. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SEBAHAGIAN produk hiliran dihasilkan daripada hasil tanaman cili diusahakan peserta CBB. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENGURUS Pemasaran Serotech, Ahmad Fikri Mastor. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Jurutera jadi pengusaha cili padi



BERBAKTI kepada tanah pasti akan ada hasilnya, biarpun sekadar di laman rumah sendiri.

Inilah yang dirasai sendiri jurutera, Harith Mohamed Zin, 38, yang mengusahakan penanaman cili padi di laman rumahnya di Denai Alam, Shah Alam apabila menyertai program kebun bandar, Cilibangi Buy Back (CBB), sejak Julai lalu.

Harith yang kini memiliki 200 pokok Cilibangi, iaitu baka cili padi paling pedas, mengakui tidak menyangka usahanya itu mampu memberikan pulangan agak lumayan.

Seawal tiga bulan selepas penanaman, beliau menikmati hasil tuaian pertama kira-kira 200 kilogram (kg) cili yang menjana pendapatan RM960.

"Sebelum ini, saya mengusahakan penanaman 10 pokok Cilibangi secara manual. Program CBB yang baru diperkenalkan dan menggunakan kaedah penanaman fertigasi nyata berbeza dan lebih mudah.

PENGURUS Pemasaran Serotech, Ahmad Fikri Mastor (kanan) menunjukkan sebahagian cili yang dibeli semula daripada peserta CBB, Harith Mohamed Zin yang mengusahakan tanaman itu di laman rumahnya di Denai Alam, Shah Alam.

"Ia kurang memerlukan penggunaan tenaga, hanya perlu membuat pemantauan dan penyelenggaraan berkala mengikut panduan penanaman lengkap yang diberi," katanya.

Harith berkata, beliau hampir putus asa kerana lima bakul cili belum matang terpaksa dibuang apabila banyak dahan pokok patah kerana kedudukan rumahnya yang terletak dalam laluan angin.

Namun, katanya, sokongan dan bimbingan penyelesaian diberikan oleh wakil Serotech Sdn Bhd (Serotech) yang melaksanakan CBB, memberi beliau semangat untuk terus mengusahakan tanaman itu hingga berjaya.

"Saya berasa sangat kecewa hingga berhari-hari tidak menjengok kebun di laman rumah, tetapi Pengurus Pemasaran Serotech, Ahmad Fikri Mastor, datang dan menyedarkan saya kaedah penjagaan lebih teliti bagi mengelakkan kejadian itu berulang termasuk memastikan pemasangan dawai sokongan pada cabang pokok serta meningkatkan prosedur pembajaan apabila mendapati daun kelihatan seperti kurang zat.

"Selepas tiga bulan, saya terkejut dengan hasil tuaian yang begitu banyak mencecah 200kg. Anak-anak dan isteri juga mula menunjukkan minat untuk sama-sama mengusahakan tanaman ini serta sama-sama membantu memetik cili.

HARITH (kiri) dan Ahmad Fikri di kebun cili di laman rumahnya di Denai Alam, Shah Alam.

"Pengalaman ini menarik kerana ia bukan saja membantu mengurangkan kos perbelanjaan dapur malah mampu menjana pendapatan sampingan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Serotech, Sharifah Nur Rahimah Syed Alias, berkata peserta boleh menghasilkan antara 40kg hingga 200kg cili sekali tuaian berdasarkan pakej diambil iaitu antara 50 hingga 200 polibeg anak pokok Cilibangi.

Katanya, Serotech menawarkan harga belian semula RM6 bagi setiap kg cili, sekali gus membolehkan peserta menjana pendapatan minimum RM200 hingga lebih RM1,000 seawal tiga bulan selepas penanaman.

Beliau berkata, pakej itu mengambil kira segala aspek berkaitan bermula daripada penanaman hingga pasaran bagi meminimumkan risiko kegagalan serta memastikan peserta mampu menjana pendapatan.

"Pakej CCB yang menggunakan sistem penanaman fertigasi dilengkapi semua keperluan baja, anak pokok dan peralatan penanaman Cili Bangi untuk satu musim penanaman iaitu enam bulan, perkhidmatan pemasangan sistem fertigasi, latihan praktikal serta panduan penanaman yang lengkap (SOP).

KEBUN cili peserta CBB yang juga seorang kontraktor, Mohd Rejab Hamdan di laman rumahnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Ia benar-benar memudahkan peserta kerana hanya perlu fokus kepada penjagaan tanaman mengikut SOP disediakan. Dari segi pemasaran hasil tanaman, Serotech turut menawarkan program belian semula kepada peserta di sekitar Lembah Klang yang mana hasil tanaman itu akan dijual di ekspo atau diproses menjadi produk hiliran seperti sos, cili jeruk dan pes cili," katanya.

Beliau berkata, penggunaan Cilibangi hasil penyelidikan Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri daripada UKM adalah kelebihan pakej itu kerana varieti cili berkenaan mempunyai tahap ketahanan terhadap penyakit yang tinggi selain berbunga dan berbuah secara serentak.

"Ciri utama Cilibangi iaitu berbunga dan berbuah serentak membolehkan tuaian dalam kuantiti yang banyak dilakukan secara serentak berbanding varieti Cili Kulai yang perlu dituai secara berperingkat, lazimnya, selang dua hingga tiga hari.

"Ciri tahan penyakit varieti ini juga mampu mengelak serangan virus yang menyebabkan cili bantut atau kecil serta bengkok.

Lebih istimewa apabila peserta boleh memilih varieti mengikut rasa iaitu kurang pedas, sederhana pedas dan sangat pedas yang hanya kurang sedikit saja rasa pedas berbanding cili padi," katanya sambil menambah seramai 10 peserta sekitar Lembah Klang mendaftar mengikut pakej CBB setakat ini sejak ia diperkenalkan pada April lalu.

Berita Harian X