Rabu, 4 November 2015 | 6:39pm

Gagal kawal penyokong, FAP dan PBSNT didenda

KUALA LUMPUR: Tindakan liar penyokong Pulau Pinang dan Terengganu ketika perlawanan Piala Malaysia, 12 September lalu menerima padah apabila badan induk bola sepak negeri terbabit masing-masing didenda RM30,000 dan RM17,500 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya hari ini mendapati Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) bersalah kerana melanggar 'Artikel 70 para 1 Kod Tatatertib FAM 2015' berkenaan 'Tanggungjawab bagi kelakuan penonton.'

Penyokong Pulau Pinang didapati membaling batu selepas perlawanan Piala Malaysia 2015 bertemu PKNS FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 12 September lalu.

PBSNT pula dihukum disebabkan tindakan penyokong pasukan itu yang membakar suar, membakar mercun dan membakar kerusi stadium semasa perlawanan Piala Malaysia 2015 menentang Johor Darul Ta'zim II di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada tarikh sama.

Kedua-duanya juga didapati melakukan kesalahan berulang (Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015) dan diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Berita Harian X