Rabu, 4 November 2015 | 5:55pm

Rokok elektronik bernikotin tetap perlu diharamkan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan kekal dengan pandangan dan keputusan bahawa rokok elektronik bernikotin perlu diharamkan.

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata penggunaan rokok jenis itu boleh merosakkan kesihatan masyarakat dalam jangka masa panjang.

Katanya, pihak kementerian tidak akan menyokong sebarang aktiviti yang menyumbang ke arah peningkatan masalah kesihatan di kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Beliau berkata, keputusan itu juga dicapai selepas kajian Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Kesan Rokok Elektronik dan Shisha Terhadap Kesihatan, yang turut mengesyorkan kepada kerajaan supaya mengharamkan penggunaan rokok elektronik.

Menurut Lokman, Kementerian Kesihatan mentakrifkan rokok elektronik yang mengandungi nikotin dikenali sebagai e-rokok manakala rokok elektronik yang tidak mengandungi nikotin adalah vape.

"Tapi kebanyakan rakyat Malaysia tidak dapat membezakan e-rokok dan vape. Pada mereka vape, e-rokok benda yang sama. Selain itu, ada juga cecair vape yang bernikotin," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lokman berkata, hanya ahli farmasi berlesen dalam premis berlesen sahaja boleh menjual produk yang mengandungi nikotin bagi tujuan membantu memulihkan ketagihan nikotin.

"Penjualan dan penggunaan cecair e-rokok yang mengandungi nikotin tertakluk di bawah peruntukan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 dalam Peraturan Kawalan Tembakau 2004," katanya.

Sehubungan itu, Lokman berkata kementerian akan mengambil tindakan kepada penjual dan pengguna rokok elektronik yang mengandungi nikotin seperti mana tertakluk di bawah Akta Racun 1952.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan menggiatkan kempen anti rokok elektronik dan vape seperti kempen 'Tak Nak Merokok'.

"Pesanan kementerian kepada masyarakat adalah janganlah menggunakan rokok elektronik atau vape kerana ia memudaratkan kesihatan dalam jangka masa panjang," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Kesan Rokok Elektronik dan Shisha Terhadap Kesihatan, Prof Datuk Dr Abdul Razak Mutallif, berkata walaupun tiada nikotin dalam 'vape' namun trend baru itu menghasilkan ketagihan baru dalam masyarakat.

"Kajian yang kita lakukan mendapati banyak kesan jangka masa panjang bakal mengundang kanser baharu di masa depan," kata Dr Abdul Razak, yang juga Pakar Perunding Kanan Perubatan/Respiratori Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur.

- BERNAMA

Berita Harian X