Rabu, 4 November 2015 | 2:09pm

Van Gaal lega Man United, Rooney tamat kemarau


REAKSI puas penyerang Manchester United, Wayne Rooney ketika meledak gol kemenangan ke atas CSKA Moscow dalam perlawanan Kumpulan B Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Louis van Gaal mengakui 'lega' selepas kaptennya, Wayne Rooney menamatkan kemarau 404 minit tanpa jaringan kelab itu dengan kemenangan 1-0 ke atas kelab Russia, CSKA Moscow dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

United melakar tiga keputusan seri 0-0 dan hampir melakar sejarah mencatat seri tanpa jaringan buat kali keempat sebelum jaringan Rooney menerusi tandukan pada minit ke-79 di Old Trafford mengesahkan kemenangan buat tuan rumah.

Kemenangan menyaksikan United kini menghuni kedudukan teratas Kumpulan B selepas mengumpul tujuh mata berbaki dua perlawanan dengan CSKA terperosok ke tangga tercorot dengan empat mata.

"Saya fikir kami memang layak memperolehnya (kemenangan). Saya lega namun turut bangga, kerana ia bukannya mudah," kata Van Gaal mengulas kemenangan pertama kelab Inggeris itu bertemu kelab Russia dalam empat percubaan.

"Ketika masa gemilang Manchester United, saya sudah membuat penyelidikan mereka tidak pernah menang menentang kelab Russia di laman sendiri.

"Semua orang fikir adalah mudah buat Man United namun ia bukan mudah untuk satu-satu kelab menang dalam Liga Juara-Juara."

Penyerang England, Rooney dikritik hebat atas prestasi longlai yang ditampilkan bersama kelab itu namun jaringan tunggalnya berjaya menyamai rekod dipegang legenda Denis Law iaitu 237 gol bersama United.

Jumlah itu meletakkannya berkongsi kedudukan kedua penjaring terbanyak dalam sejarah kelab itu dan hanya kurang 12 gol daripada rekod yang dipegang Bobby Charlton.

Ditanya adakah dia akan meneruskan sokongannya terhadap Rooney, Van Gaal membalas; "Ya, namun saya menyokong semua pemain saya. Bukan saja Wayne Rooney, namun Wayne Rooney sentiasa menjadi tumpuan jadi saya mesti menjawab segala soalan mengenainya. Kini, sekali lagi.

"Namun Wayne adalah Wayne dan dia sentiasa menyumbang dalam perlawanan. Saya amat gembira kerana saya meletakkannya dalam posisi serangan dan dia menjaringkan gol.

"Dan ia adalah jaringan yang menakjubkan kerana persiapannya adalah menakjubkan, terjahan Marcos Rojo, hantaran Michael Carrick, gelecekan Jesse Lingard diikuti tandukan Rooney. Ia menakjubkan dan saya amat gembira dengan persembahan pemain saya, juga dengan keputusan dan juga kami kini selaku pendahulu kumpulan."

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, kelab Belanda, PSV Eindhoven mencatat kemenangan ke atas kelab Jerman, VfL Wolfsburg dengan kedua-duanya berkongsi enam mata di kedudukan kedua dan ketiga. - AFP

Berita Harian X