Selasa, 3 November 2015 | 3:39pm

18 pusat peperiksaan SPM di Pahang dikenal pasti berisiko

SEBAHAGIAN daripada pelajar SMK Sungai Soi yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Sebanyak 18 sekolah di negeri ini yang dijadikan pusat peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikenal pasti berisiko untuk banjir atau terputus laluan jika musim tengkujuh melanda, awal Disember ini.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Pahang, Mohd Razali Mustafar, berkata pihaknya turut mengambil perkiraan risiko kemungkinan tanah runtuh di Cameron Highlands bagi memastikan peperiksaan SPM yang berakhir 8 Disember ini tidak terjejas.

"Kita telah melantik pegawai angkat untuk semua pusat peperiksaan yang berisiko dan mereka telah berbincang dengan pengetua serta pengurusan sekolah apa tindakan yang perlu diambil jika situasi itu berlaku supaya keselamatan calon diutamakan dan boleh terus menduduki SPM.

"Contohnya, calon di pusat peperiksaan yang laluannya terputus akibat banjir akan dipindahkan ke pusat peperiksaan dan penginapan serta makan minum mereka akan diuruskan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Bagi pusat peperiksaan yang berisiko ditenggelami banjir, semua calon telah dimaklumkan pusat peperiksaan yang perlu dihadiri mereka dan diminta untuk sentiasa berwaspada dengan pengumuman yang akan dikeluarkan, katanya.

Mohd Razali berkata, persediaan rapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) juga diambil bagi menghadapi kemungkinan bilik kebal menyimpan soalan dinaiki air atau tidak boleh dilalui bagi memastikan keselamatan kertas soalan.

"Jika ia berlaku, semua soalan akan dipindahkan ke pusat peperiksaan dan disimpan di dalam almari besi berpalang dan berkunci, selain ketua pengawas peperiksaan akan tidur di bilik berkenaan," katanya.

Beliau berkata, tidak ramai yang mengetahui pengorbanan guru tidur bersama kertas soalan, sedangkan perkara itu turut dipraktik pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini di Pahang, membabitkan 14 buah sekolah di kawasan pedalaman.

Selain ketua pengawas peperiksaan, turut bermalam di sekolah bagi 'mengawal' kertas soalan itu ialah penyelia kawasan dan anggota polis, katanya.

"Jika dilihat pengorbanan guru, pada kejadian tanah runtuh di Bertam (Cameron Highlands) tahun lalu, ada guru-guru yang menyeberangi tanah runtuh bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mengambil calon SPM dan bawa mereka ke pusat peperiksaan.

"Seboleh-bolehnya kami mahu calon mengambil peperiksaan itu kerana hanya dua situasi sahaja yang membolehkan peperiksaan dibatalkan, iaitu atas pengumuman menteri pendidikan atau pengisytiharan darurat," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X