Selasa, 3 November 2015 | 2:04pm

Ringgit tidak beri kesan harga sawit, getah


MENTERI Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit yang susut berbanding dolar Amerika Syarikat (US) tidak memberi kesan kepada kestabilan harga minyak kelapa sawit dan getah dalam negara, kata Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, kejatuhan harga kedua-dua komoditi itu berpunca daripada beberapa faktor, termasuk pertumbuhan ekonomi yang perlahan di negara pengimport seperti China, Kesatuan Eropah dan US, yang menyebabkan kesan kepada permintaan dan harga, dan peningkatan stok ekoran pengeluaran melebihi permintaan.

"Stok purata minyak sawit negara meningkat daripada 1.99 juta tan pada 2013 kepada 2.02 juta tan pada 2014 dan sehingga September 2015, stok minyak sawit negara berjumlah 2.63 juta tan, dan pada masa yang sama, stok minyak kacang soya yang menjadi pesaing utama minyak sawit juga telah meningkat.

"Stok purata getah asli dunia pula meningkat daripada 2.35 juta tan pada 2012 kepada 3.12 juta tan pada 2014, namun stok susut bagi tempoh Januari-Jun 2015 kepada 2.6 juta tan," katanya menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) di Dewan Rakyat.

Ngeh bertanyakan kenapa harga getah dan kelapa sawit turun dalam nilai ringgit walaupun komoditi tersebut dijual dalam dolar AS yang meningkat secara mendadak berbanding ringgit.

Mengenai tindakan yang diambil kerajaan untuk memulihkan harga komoditi berkenaan dan menjaga kebajikan pekebun kecil khasnya, Uggah menjelaskan bagi minyak sawit, kerajaan telah meningkatkan penggunaan biodiesel daripada program B5 kepada B7 mulai November 2014 dan menyediakan dana berjumlah RM100 juta bagi Skim Insentif Tanam Semula pada 2015.

Bagi getah, katanya kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran getah asli melalui pengeluaran adunan getah dengan bitumen dalam pembinaan jalan raya yang dijangkakan bermula tahun depan.

"Di peringkat antarabangsa menerusi rangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC), kita bersama Thailand dan Indonesia sentiasa prihatin dan bekerjasama dalam mencari pendekatan untuk menstabilkan harga getah asli. Ini termasuk memperkukuh mekanisme Skim Pengurusan Bekalan dan Skim Tan eksport yang Dipersetujui dalam kalangan negara ITRC.

"Begitu juga dengan minyak sawit di mana sebagai anggota dalam Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOP) termasuk Indonesia, akan membuat perancangan dan melaksanakan aktiviti berkaitan pembangunan industri sawit serta menentukan harga sawit yang munasabah," kata Uggah. - BERNAMA

68 dibaca
Berita Harian X