Selasa, 3 November 2015 | 10:37am

Dortmund ucap tahniah pada JDT


JDT terima perutusan tahniah daripada Borussia Dortmund. - Foto FB Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU: Kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala AFC 2015 musim ini turut menerima ucapan tahniah daripada gergasi bola sepak Jerman, Borussia Dortmund.

Ucapan perutusan itu dihantar kepada Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Perutusan bertarikh 2 November itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif kelab berkenaan, Hans Joachim Watzke dan Pengarah Pemasarannya, Carsten Cramer.

Pasukan JDT dimahkotakan sebagai juara Piala AFC 2015 selepas berjaya menewaskan FC Istiklol pada final yang berlangsung di laman lawannya itu di Dushanbe, Tajikistan pada Sabtu lalu.

Selain ucapan tahniah, Dortmund yang bekas juara Bundesliga itu turut menyatakan keinginan untuk meneruskan keakraban dan kerjasama antara dua pihak.

Laman sosial Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, menyiarkan surat perutusan ucapan tahniah itu sebentar tadi.

31 dibaca
Berita Harian X