Isnin, 2 November 2015 | 7:24pm

Sharp-Roxy sedia hadapi tahun lebih mencabar


PENGARAH Urusan Sharp-Roxy Sales & Service Company (M) Sdn Bhd (SRSSC), Takaya Wakasumi. - Foto Fariz Iswadi Ismail

SEPANG: Sharp-Roxy Sales & Service Company (M) Sdn Bhd (SRSSC) yakin syarikat itu mempunyai daya tahan untuk mengharungi tempoh yang lebih mencabar pada tahun depan.

Pengarah Urusan, Takaya Wakasumi, berkata antara cabaran itu ialah kos sara hidup lebih tinggi, kelembapan pertumbuhan ekonomi dan kelemahan ringgit yang boleh memberi impak kepada permintaan pengguna terhadap produk syarikat terbabit.

"Ringgit yang lemah pula akan terus meningkatkan kos perniagaan.

"Walaupun faktor ini mempunyai pengaruh besar terhadap perniagaan, malangnya ia adalah di luar kawalan kita," katanya berucap pada majlis pelancaran barisan produk terbaharu syarikat itu di sini, hari ini.

Syarikat itu melancarkan tiga produk bertemakan 'Inspirasi Inovatif Unik' iaitu televisyen siri SHARP Aquos XU dengan resolusi 8K, peti sejuk J-Tech dan mesin basuh tab keluli tiada lubang.

Model televisyen LC-80XU930X sebesar 80 inci dijual pada harga RM59,999 termasuk GST, manakala model LC-70XU830X berharga RM34,999 yang boleh didapati pada mulai bulan depan.

Peti sejuk berkenaan yang dilengkapi dengan teknologi J-Tech Inverter SHARP menawarkan penjimatan tenaga hingga 77 peratus dijual pada harga RM4,899 untuk model SJF85VMSS yang boleh menampung 700 liter, manakala model SJF95VMSS dengan kapasiti 750 liter berharga RM5,599.

Mesin basuh itu pula yang memuatkan 7.5 kilogram (kg) berharga RM949, diikuti 8.2 kg (RM1,099), 9 kg (RM1,249) dan 10 kg (RM1,299) dan tab tiada lubang berupaya mengurangkan penggunaan air hingga 40 peratus.

11 dibaca
Berita Harian X