Isnin, 2 November 2015 | 6:30pm

Jerebu mula menipis di seluruh Indonesia


INDEKS Pencemaran Udara (IPU) di Jambi. - Sumber bmkg.go.id

JAKARTA: Setelah hampir empat bulan dilanda jerebu, keadaan kini semakin pulih dengan langit mulai cerah di hampir seluruh Indonesia.

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di wilayah yang dilanda jerebu, setakat petang ini berada pada bacaan bawah 150.

Malah di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah yang sebelum ini diselimuti jerebu tebal dengan bacaan IPU mencecah lebih 2,000, kini berada pada 100 dan kehidupan penduduk di kawasan itu dilaporkan kembali normal.

Jambi di Sumatera pula mencatatkan bacaan IPU 150 berbanding 200 pada pagi tadi manakala di Palembang bacaan IPU telah menurun daripada 235 kepada 150.

Ketua Biro Antara di Jambi, Ashari ketika dihubungi Bernama berkata, jerebu mula menipis di wilayah itu sejak minggu lepas dan aktiviti masyarakat di wilayah itu telah kembali normal.

Katanya, asap tebal telah hilang setelah pasukan berkuasa menggunakan pelbagai kaedah untuk membasahi tanah terutamanya kawasan tanah gambut yang mengalami kebakaran sejak tiga bulan lepas.

Sementara itu, portal berita tempatan beritagar.id hari ini dalam laporannya berkata Badan (Jabatan) Lingkungan Hidup Provinsi Riau telah menarik status darurat pencemaran udara akibat kebakaran hutan di wilayah itu.

Kepala Badan Lingkungan Hidup Riau Yulwirawati Moesa dipetik sebagai berkata status itu ditarik setelah bacaan IPU berada pada tahap sihat.

"Status darurat pencemaran udara berakhir 1 November 2015. Udara di Riau sudah sihat," katanya.

Yulwirawati berkata, perubahan kualiti udara itu disebabkan Riau telah menerima hujan sejak lima hari lepas.

Akhbar tempatan pula melaporkan pemantauan satelit Lembaga Penerbangan dan Antariksa Nasional (LAPAN) mendapati Indonesia telah kehilangan hampir dua juta hektar hutan akibat kebakaran yang berlaku selama hampir empat bulan itu.

Kebakaran itu memusnahkan 832,999 hektar hutan di Sumatera, 806,817 hektar di Kalimantan dan 353,191 hektar di Papua.

Luas wilayah yang terbakar di Sumatera, Kalimantan dan Papua itu adalah 30 kali keluasan Daerah Khusus Jakarta (ibu negara Indonesia) yang seluas 740.3 kilometer persegi atau kira-kira 74,000 hektar.

Kebakaran itu telah menyebabkan Orang Asli terpaksa keluar dari hutan, dan terdapat dakwaan kononnya jerebu tebal itu telah mengorbankan beberapa nyawa akibat jangkitan saluran pernafasan akut.

Menteri Sosial Khofifah Indar Parawansa dipetik sebagai berkata kerajaan telah memberi Bantuan Santunan Kematian (BSK) kepada penduduk yang terkorban akibat jerebu di beberapa lokasi.

Katanya, menurut Peraturan Menteri Sosial (Permensos) bagi setiap yang maut diberi santunan kematian sebanyak Rp15 juta dan setakat ini kementerian mengesahkan lebih 10 keluarga mangsa telah menerima bantuan berkenaan.

Media-media tempatan turut melaporkan kebakaran hutan dan ladang di Indonesia pada tahun ini adalah yang terburuk dan jumlah kerugian adalah lebih Rp20 trilion (kira-kira RM60 juta)

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubuangan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata angka itu adalah berdasarkan perbelanjaan kerja-kerja memadam kebakaran ladang dan hutan yang menelan belanja RP20 trilion.

Katanya, tahun lepas kebakaran itu hanya berlaku selama tiga bulan di Riau dan bagi tahun ini pula tempat kejadian telah bertambah dan secara kiraan kasarnya jumlah kerugian akan bertambah.

Kebakaran hutan dan ladang tahun ini berlaku di Sumatera Selatan, Jambi, Riau, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, dan Kalimantan Selatan.

Jerebu akibat kebakaran hutan itu telah melanda ke Malaysia dan menjejaskan aktiviti rakyat negara itu sehingga kerajaan terpaksa menutup sekolah di beberapa buah negeri dan membatalkan beberapa aktiviti riadah di kawasan terbuka. - BERNAMA

Berita Harian X