Isnin, 2 November 2015 | 4:10pm

Pencapaian atlet paralimpik di Qatar membanggakan


NUR Azlia (belakang) bersama rakannya Nurul Suhada Zainal ketika beraksi pada acara akhir individu kejar mengejar 3,000 meter wanita B sempena Temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Velodrome Antarabangsa hari ini. - Foto BERNAMA

SEPANG: Kejayaan skuad olahraga paralimpik negara pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2015 di Qatar memenangi dua emas dan tiga gangsa, membuktikan Malaysia berada di landasan tepat ke Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun hadapan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kejayaan berkenaan adalah pencapaian yang paling membanggakan buat skuad paralimpik negara.

"Atlet paralimpik negara berjaya membaiki pencapaian terdahulu di Lyon, Perancis pada 2013 yang mana kita hanya meraih satu pingat emas. Ini adalah satu jalan yang baik buat mereka.

"Insya-Allah selepas ini mereka akan membawa pulang pingat Rio pula.

"Bagi mereka yang membuat pencapaian terbaik, saya yakin mereka akan dipertimbangkan untuk menyertai program podium," katanya selepas menyambut ketibaan atlet paralimpik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Shapawi berkata, dengan adanya program podium yang bakal dilancarkan itu, atlet paralimpik akan menerima lebih perhatian dan peruntukan, serta sokongan yang lebih baik lagi.

Katanya, peruntukan bagi sukan paralimpik juga meningkat dari tahun ke tahun berikutan prestasi cemerlang mereka di kejohanan antarabangsa.

Melalui Skim Hadiah Kemenangan, pemegang pingat emas akan menerima RM80,000 dan pemilik pingat gangsa pula memperoleh hadiah sebanyak RM20,000.

Pada kejohanan IPC yang berlangsung dari 22 hingga 31 Oktober ini, Malaysia meraih dua emas melalui Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh kategori T20 dan Mohammad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100m kategori T36.

Tiga pingat gangsa pula adalah daripada Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru kategori F20), Mohamad Saifuddin Ishak (lompat jauh kategori T12) dan Siti Noor Iasah (400M kategori T20).

Sementara itu, Pengarah Cawangan Paralimpik MSN, Mohd Safrushahar Yusoff berkata setakat ini hanya sukan berbasikal menerima slot ke Sukan Paralimpik Rio manakala sukan-sukan lain masih dalam proses kelayakan.

"Kelayakan ke Sukan Paralimpik Rio akan habis secara berperingkat bermula dari bulan Februari hingga Mei tahun depan. Kita jangkakan Mei tahun hadapan akan dapat senarai penuh atlet yang layak ke Rio.

"Bagi saya, atlet olahraga yang berjaya ini merupakan salah satu tunjang dan harapan untuk Malaysia layak ke Rio," katanya di KLIA, hari ini.

Cawangan Paralimpik MSN menyasarkan lebih 20 atlet paralimpik dari lapan jenis sukan iaitu olahraga, angkat berat, renang, berbasikal, pelayaran, ping pong, memanah dan lawan pedang berkerusi roda layak ke Rio.

-- BERNAMA

37 dibaca
Berita Harian X