Ahad, 1 November 2015 | 12:18am
PENYANYI, Anuar Zain. - Foto Saifullizan Tamadi

Anuar Zain 'anti' laman sosial

Aura yang dimiliki oleh jejaka kelahiran Merlimau, Melaka ini berjaya meletakkan beliau pada tahap tersendiri dalam industri muzik tempatan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini itu bijak mengatur langkah, sekali gus menjadikan beliau antara artis berprofil tinggi sarat dengan kredibiliti.

Sebut saja nama Anuar Zain, pastinya mampu membuatkan kaum Hawa teruja sehingga ada yang mampu melakukan tindakan luar kawal tidak mengira usia.

Pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu berpegang teguh pada prinsip beliau sedari awal berkecimpung dalam industri seni tempatan iaitu bertunjangkan hasrat menghargai peminat sebagai paksi utama.

"Saya percaya semua artis bekerja keras untuk meletakkan diri ke tempat yang sepatutnya mereka berada. Saya tidak bermegah mengangkat diri sebagai seorang artis berprofil tinggi dan eksklusif, namun jujur saya akui memilih karya untuk diberikan kepada peminat muzik negara.


PENYANYI, Anuar Zain. - Foto Saifullizan Tamadi

"Saya tidak akan menghadiri sesuatu acara jika ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerjaya saya. Mungkin itu satu sebab mengapa saya jarang dilihat di majlis tertentu kerana memilih pendekatan sebegitu sedari dulu lagi.

"Bagi saya, penting untuk melakukan sesuatu perkara atas keinginan sendiri dan memberi kebahagiaan kepada diri kerana idea kreatif tercetus apabila kita meminati sesuatu benda itu. Karya luar biasa diilhamkan daripada idea spontan tanpa paksaan dan jarak waktu.

"Sebagai penghargaan kepada peminat yang memberikan sokongan padu tanpa henti, saya perlu membalas jasa baik mereka dengan memberikan karya yang terbaik untuk halwa telinga mereka. Naskhah yang dihasilkan daripada keikhlasan dan ketelusan dapat memberikan impak yang lebih mendalam kepada pendengar," katanya kepada BH PLUS.

Satu perkara yang jelas, penyanyi berusia 45 tahun ini tidak memiliki sebarang akaun media sosial. Terlalu berbeza berbanding kebanyakan artis, baik di dalam mahu pun luar negara.

Biarlah jika ada yang mengatakan dia ketinggalan dalam kepesatan arus teknologi, Anuar menegaskan dia mempunyai pendekatan sendiri untuk sentiasa dekat dengan peminat.


PENYANYI, Anuar Zain. - Foto Mohd Khairul Helmy

"Saya kurang gemar menggunakan media sosial sebagai medium kerana pejuang papan kekunci bebas bersuara tanpa batasan. Namun, saya tidak pula mengkritik barisan artis yang menggunakan platform itu untuk berada dekat dengan peminat mereka.

"Saya akan turun padang di setiap lokasi untuk berada dekat dengan peminat. Bagi saya, peminat ialah tunggak utama kepada jatuh bangun seseorang artis. Inilah masa yang sesuai untuk saya menunjukkan penghargaan dan berjumpa dengan mereka.

"Malah, saya bersyukur sering diberikan kesempatan melakukan persembahan untuk majlis tertutup kerana dapat berada lebih dekat dengan penggemar saya. Mungkin ada yang berasakan pendekatan sebegitu mengambil masa yang lama, namun saya lebih selesa begitu," katanya.

Tambah pelantun lagu Sedetik Lebih ini, beliau mengelak laman sosial kerana tidak mahu gejala negatif itu melingkari hidup dan kerjaya seninya.

Baginya, dunia Internet sangat menakutkan. Segala komen dan ulasan dilemparkan begitu sahaja tanpa memikir kesannya kepada masyarakat.


PENYANYI, Anuar Zain. - Foto Saifullizan Tamadi

"Saya kasihan dengan insan yang bergelar anak seni kerana dikritik seperti tidak mempunyai hati dan perasaan. Mereka seperti mempunyai persepsi negatif terhadap artis sehingga membuatkan artis yang terpalit itu mengalirkan air mata.

"Ada antara mereka yang kurang gemar dengan sesetengah artis itu dan sengaja mencari kesalahan mereka. Malah, kadang kala artis yang tidak bersalah turut terpalit dengan kontroversi yang tidak mempunyai sangkut-paut dengan mereka.

"Untuk pejuang papan kekunci di luar sana, terutamanya bagi yang beragama Islam, janganlah membuka keaiban orang sesuka hati. Jika mempunyai niat baik untuk menegur, gunakanlah medium yang sesuai supaya tidak memalukan individu itu," katanya mengakhiri bicara.

Berita Harian X