Sabtu, 31 Oktober 2015 | 6:53pm

ANGKASA mohon tambah peruntukan bantu koperasi


PRESIDEN Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto Nurul Shafina Jemenon

BENTONG: Kerajaan diminta menambah peruntukan kepada koperasi di negara ini bagi membolehkan institusi itu memiliki aset, khususnya membeli premis sendiri untuk terus berdaya saing dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pemilikan aset sendiri amat penting untuk memperkasakan gerakan koperasi yang dianggarkan kira-kira 12,000 buah di negara ini.

Selain itu, langkah membantu koperasi memiliki aset sendiri juga dapat memastikan pemilikan aset seimbang antara kaum Bumiputera dan kaum lain, memandangkan harga premis perniagaan yang mahal menyukarkan golongan Bumiputera memilikinya.

"Peruntukan diberi kerajaan kepada sektor koperasi melalui tabung modal pusingan ialah RM100 juta setiap tahun, dan pada pembentangan Bajet 2016, kerajaan turut meluluskan peruntukan sama sebagai pinjaman modal koperasi menjalankan perniagaan.

"Tetapi, jumlah itu amat terhad dan jika dibandingkan bilangan 12,500 koperasi dengan keanggotaan lapan juta dengan aset lebih RM127 bilion, sudah tentu tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan Angkasa Pahang Zon 3, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Angkasa Nasir Khan Yahaya dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa negeri, Datuk Abdul Aziz Abdullah.

Selain itu, Abdul Fattah berkata sebidang tanah seluas kira kira satu hektar di Shah Alam akan dimajukan untuk pembinaan bangunan ibu pejabat baharu Angkasa, pada tahun depan.

Sementara, sebuah pusat latihan Angkasa akan dibina di Langkawi tidak lama lagi, bagi membolehkan lebih banyak anggota koperasi serta kakitangan Angkasa mendapat latihan bagi mengendalikan koperasi, katanya.

- BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X