Sabtu, 31 Oktober 2015 | 4:15pm

Malaysia perlu sehingga 250,000 metrik tan bekalan daging setahun


TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Malaysia memerlukan antara 200,000 hingga 250,000 metrik tan daging setahun, tetapi kemampuan negara hanya dapat menyediakan kira-kira 50,000 metrik tan saja.

Sehubungan itu kerajaan memperkenalkan tiga pendekatan bagi menampung kekurangan itu iaitu penternakan lembu, kerbau dan kambing, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini hari ini, beliau menambah, salah satu pendekatan yang diambil ialah memperkenalkan projek ladang satelit.

Katanya, setakat ini sebanyak 67 ladang satelit diwujudkan di seluruh negara dengan setiap ladang mempunyai dua hingga lima kandang ternakan dan setiap kandang boleh memuatkan antara 200 hingga 500 ekor ternakan sama ada lembu, kerbau atau kambing.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan juga mendapat kerjasama kerajaan negeri untuk menyediakan tanah bagi membolehkan pembukaan padang ragut sebagai tempat menternak.

"Sehingga sekarang terdapat kira-kira 8,000 padang ragut di seluruh negara di bawah pengawasan sebuah jawatankuasa khas yang diberi tanggungjawab mengendalikannya," katanya.

Sementara itu pendekatan ketiga jelas Tajuddin ialah memperkenalkan konsep integrasi ladang ternakan membabitkan ternakan lembu, kerbau atau kambing dalam ladang kelapa sawit oleh para pemilik ladang terbabit seperti Felda, Felcra dan syarikat-syarikat swasta.

"Bagaimanapun ketiga-tiga pendekatan yang diperkenalkan ini tidak mendapat sambutan daripada mereka yang terbabit menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport daging daripada luar negara seperti India, Australia, Thailand dan Myamar bagi menampung keperluan," katanya.

Ketika berucap pada majlis itu, Tajuddin menasihatkan peladang, penternak dan nelayan lebih serius menjalankan tugas masing-masing kerana kerjaya itu juga boleh memberi pulangan lumayan sekiranya tidak terlalu bergantung kepada orang tengah.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ahmad Bakri Ali memberitahu sambutan tersebut berlangsung selama tiga hari membabitkan pelbagai pengisian termasuk pameran dan jualan hasil-hasil pertanian, demo masakan negeri serta pertandingan sukan.

Pada akhir majlis, Tajuddin turut menyampaikan sumbangan insentif TEKUN dan insentif MADA kepada para penerima terpilih di samping penyampaian anugerah kepada para pemenang membabitkan 12 kategori.

Sempena lawatannya ke Perlis, Timbalan Menteri itu turut melawat projek ladang mempelam harumanis di Bukit Bintang, Bintong dekat sini dan mendengar taklimat daripada Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh.

-- BERNAMA

Berita Harian X