Sabtu, 31 Oktober 2015 | 3:13pm

102 disaman pandu laju di LPT2 dalam tempoh dua jam


Operasi had laju dilakukan Polis Trafik Bukit Aman di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) hari ini.

CHUKAI: Hanya dalam tempoh dua jam operasi had laju dilakukan Polis Trafik Bukit Aman di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) hari ini, sebanyak 102 saman dikeluarkan atas kesalahan terbabit.

Pegawai Penguatkuasa dan Operasi Trafik Bukit Aman, Deputi Superintendan Mustaffa Bakri Salleh, berkata ia menunjukkan orang awam sendiri tidak serik dengan pelbagai siri kemalangan maut dan ngeri yang berlaku di LPT2 dan masih memandu melebihi had laju.   

Malah, katanya, ada pemandu direkodkan memandu melebihi 165 kilometer sejam (km/j).   

"Kita sangat bimbang dengan sikap pemandu seperti ini. Mereka masih memandu laju dan melebihi had keterlaluan sehingga 165km/j biarpun tahu kemalangan sering berlaku di lebuh raya ini.   

"Selain mengeluarkan saman had laju, kita juga mengeluarkan sebanyak 22 saman kesalahan nombor plat kenderaan, lesen dan cukai jalan tamat tempoh serta lampu brek belakang tidak menyala," katanya ketika melakukan operasi itu bersama tujuh pegawai dan 22 anggota Trafik Bukit Aman di LPT2, hari ini.

Berita Harian X