Jumaat, 30 Oktober 2015 | 7:34pm

Budaya membaca bantu bina ketamadunan ilmu: Raja Muda Perlis


RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (berbaju kuning, tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian daripada 700 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak yang menyertai program Titian Kasih hari ini. - Foto BERNAMA

MELAKA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin penyemaian budaya membaca dalam kalangan rakyat negara ini boleh membantu pembinaan ketamadunan ilmu yang hebat.

Baginda bertitah pada masa ini, tahap minat membaca dalam kalangan rakyat masih rendah malah tabiat membaca semakin luntur apabila umur terus meningkat.

"Dalam kalangan pelajar, kajian mendapati kebanyakan mereka membaca hanya untuk persediaaan menghadapi peperiksaan dan bukan bagi mengisi masa lapang," titah baginda ketika merasmikan program 'Titian Kasih" peringkat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak di sini hari ini.

Menurut siaran media YTSP Perlis, program membabitkan 700 pelajar Tingkatan 1,2 dan 4 itu dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) sempena lawatan rasmi baginda ke Melaka.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, rakyat di negara maju sudah membudayakan amalan membaca tanpa mengira tahap umur.

Baginda turut mencadangkan pihak sekolah menggalakkan pelajar membaca topik-topik penting terutamanya yang berkaitan dengan mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kesusateraan Melayu, Sains, Biologi, Geografi dan Sejarah.

Selain itu, baginda mahukan sesi pembacaan membabitkan guru dan pelajar selepas waktu persekolahan boleh dilakukan sebanyak dua kali seminggu dengan setiap sesi selama sekurang-kurangnya satu jam.

Melalui kegiatan itu, beberapa aktiviti sampingan seperti pertandingan menulis cerita, cerpen, karangan, artikel, slogan yang memerlukan pelajar membaca dan membuat rujukan dapat dilaksanakan lebih berkesan.

"Selain bahan bacaan konvensional seperti buku, majalah, akhbar dan novel, penggunaan bahan bacaan elektronik terkini melalui komputer riba atau buku elektronik sesentuh seperti ipad dan sebagainya haruslah digalakkan," titah baginda.

Sebelum itu, keberangkatan tiba baginda yang juga Pengerusi YTSP Perlis disambut Pengetua MRSM Terendak, Roslam Yusoff dan Pengetua SMK Terendak, Amran Abdul Shukor.‎

Turut hadir ‎Panglima 10 Briged Para Tentera Dar,a Brig-Jen Hasagaya Abdullah dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Husin yang juga anggota Lembaga YTSP Perlis.

Program Titian Kasih diadakan saban tahun di semua sekolah di Perlis sejak tujuh tahun lepas dan pernah diadakan di Sandakan, Kudat, Tawau, Semporna dan Kota Marudu di Sabah.

Sempena lawatan kerja itu, YTSP Perlis turut menganjurkan klinik bola sepak dengan kerjasama Tunas Lagenda FC membabitkan 80 pelajar dengan dikendalikan bekas pemain bola sepak kebangsaan Bakri Ibni dan V Marimuthu.

Turut diadakan klinik pengenalan dan pertandingan tertutup woodball antara unit di bawah 10 Briged Para.

-- BERNAMA

Berita Harian X