Jumaat, 30 Oktober 2015 | 6:47pm

Musim terbaharu Oh My English! Class of 2015 bermula Ahad ini


Oh My English! Class of 2015 kembali menemui penonton mulai 1 November ini.

KUALA LUMPUR: Siri drama Oh My English! Class of 2015 kembali menemui penonton mulai 1 November ini dengan jalan cerita yang lebih menarik berkisarkan persahabatan, tahun akhir persekolahan dan juga masa depan.

Dengan mengekalkan misi menjadikan pembelajaran Bahasa Inggeris lebih menyeronokkan, siri popular ini membariskan bintang ternama untuk berganding dengan watak-watak kesayangan kelas 5 Merah.

Episod baharu Oh My English ini akan disiarkan di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135), setiap Ahad, 6.30 petang.

Siri ini menyaksikan sisi persahabatan yang kukuh dapat dilihat menerusi ikatan yang dibina antara pelajar kelas 5 Merah yang juga pelajar tahun akhir sekolah berkenaan.

Kini sudah tiba masanya mereka memikirkan perancangan masa depan masing-masing. Apabila mereka meninggalkan SMK Ayer Dalam sesudah tamat sesi persekolahan, kenangan manis dan memori bersama sahabat lain pastinya menjadi ingatan terindah ketika mereka meneruskan kehidupan.

Episod baharu bermula dengan kisah pelajar 5 Merah merindui cikgu Bahasa Inggeris kegemaran mereka, Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) yang memilih untuk terus mengajar di SK Dalam Ayer yang terletak di sebuah kawasan terpencil di Malaysia.

Bukan itu sahaja , malah See Yew Soon (Roax Tan), Mazlee (Zhafir Muzani), Anusha (Kaameshaa a/p Ravindran), Jojie (Nadiya Nisaa), Zack (Juzzthin) dan Taylor (Juliana Evans) kini terpaksa mempelajari Bahasa Inggeris dengan guru Bahasa Inggeris baharu, Miss Nurul (Cristina Suzanne).

Ketika asyik menyesuaikan diri dengan cabaran baharu, mereka juga berdepan dengan dilema membuat keputusan memilih haluan karier masing-masing.

Sementara itu, guru di SMK Ayer Dalam juga berhadapan dengan cabaran dan perjalanan penuh emosi mereka yang tersendiri.

Apakah perasaan Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) apabila mengetahui Mr Middleton akan terus mengajar di SK Dalam Ayer? Bolehkah Cikgu Bedah (Sherry Al-Hadad) menyesuaikan diri dengan Sarjan (Rahim R2) selepas perkahwinan mereka?

Benarkah Miss Soo dilamun cinta dengan kehadiran jejaka tampan lagi budiman lakonan Shaheizy Sam yang buat pertama kalinya tampil dalam Oh My English? Siri ini juga akan diceriakan dengan bintang popular.

Selain Shaheizy Sam, bintang undangan lain termasuklah atlet gimnastik Malaysia yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA, Farah Ann Abdul Hadi dan juga pemain bola sepak Tottenham Hotspur, Eric Dier.

Supermodel antarabangsa kelahiran Malaysia, Amber Chia juga akan memperagakan catwalk terbaiknya di SMK Ayer Dalam. Tambah menarik lagi, Sasha Saidin akan membuat kemunculan istimewa sebagai kakak Mr Middleton yang sanggup datang dari United Kingdom untuk melawatnya!

Seperti lazimnya, maraton episod Oh My English! Class of 2015 akan ditayangkan selama 2 hari sebelum bermulanya episod baharu.

Sudah menjadi kebiasaan episod ini ditayangkan untuk memberi peluang peminat menonton kembali 10 episod pertama yang telah pun bersiaran awal tahun ini.

Interaksi secara langsung di Twitter bersama peminat dan penonton Oh My English akan turut berlangsung sambil mereka semua menonton marathon ini. Marathon ini akan bermula secara eksklusif, bermula jam 10 pagi, 31 Oktober ini, hanya di Astro TVIQ, saluran 610.

Sebanyak 10 episod bakal memeriahkan musim terbaru Oh My English! Musim terbaharu Oh My English ini menjanjikan lebih banyak keriangan, kejutan dan kaedah baharu untuk memperkasa penguasaan bahasa Inggeris anda.

16 dibaca
Berita Harian X