Jumaat, 30 Oktober 2015 | 11:11am

Farid Kamil, isteri bersederhana sambut anak kedua

FARID Kamil bersama isteri dan anak. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pengalaman bergelar bapa dengan kelahiran anak sulungnya, Muhammad atau lebih mesra disapa Che Mad, membuatkan Farid Kamil realistik apabila ditanya mengenai persiapan menyambut anak keduanya pula pertengahan bulan depan.

Selepas mempunyai Che Mad yang kini berusia dua tahun setengah, pelakon filem Love, Supermoon itu juga berharap anak keduanya nanti perempuan.

Farid dan isterinya, Diana Danielle lebih suka bersederhana dalam hal membuat persiapan anak kedua.

"Saya dan isteri sepakat nak kitar semula barangan lama. Jadi kalau ada mana-mana barang Che Mad yang boleh diguna pakai, lebih afdal juga ia dipraktikkan.

"Anak ini cepat membesar jadi sebaiknya kita tak perlu membazir. Mulai bulan depan juga, saya tidak akan menerima tawaran berlakon dan harapnya perancangan itu tak terganggu.

"Ini kerana saya nak beri perhatian penuh kepada isteri dan anak yang bakal lahir," katanya kepada BH Online.

Farid berkata, Diana juga tidak mengidam benda pelik sepanjang kehamilan kedua ini.

"Setakat ini, Diana cuma banyak berehat sahaja, menguruskan rumah tangga dan anak kami. Ketika ini, kami pun tak tahu apa jantina anak kedua kami kerana ketika sesi pengimbasan diadakan, memang tak nampak jelas jantinanya.

"Tetapi melalui pengamatan pada struktur badan isteri saya, nampak berbeza berbanding kehamilan pertama dulu. Saya harap kali ini anak perempuan," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Diana pada 3 November 2012.

FARID Kamil bersama isteri dan anak. - Foto NSTP

Ditanya mengenai gelagat Muhammad menanti kelahiran adiknya, Farid berkata, anak sulungnya itu kini juga sudah membahasakan dirinya abang.

"Dia tahu ibunya sedang mengandungkan adik, malah sekarang dia sudah jadi seperti pelindung ibunya. Kalau ditanya bagaimana dan di mana ibunya, dia akan pastikan semua terkawal," katanya sambil menambah Muhammad seorang kanak-kanak yang sangat aktif.

Kecenderungan bakat Muhammad kini pula ke arah mana?

"Kalau nak ke arah kesenian macam kami, belum nampak ketara lagi. Televisyen pun dia jarang tengok. Cuma biasalah, kanak-kanak sepertinya sukakan kartun.

"Tapi paling jelas dia suka beriadah dengan kuda. Itu yang selalu dia minta. Saya kalau ada kelapangan memang akan bawa dia menunggang kuda," katanya.

Berita Harian X