Jumaat, 30 Oktober 2015 | 8:12am

Melabur jana pendapatan pasif


PENCAPAIAN cemerlang PNB sejak lebih 30 tahun lalu itu adalah hasil tadbir urus korporat dan tadbir urus pelaburannya yang sangat baik.

MASYARAKAT Bumiputera sewajarnya mengambil sepenuhnya peluang pelaburan yang ditawarkan institusi pelaburan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk membina tabungan kukuh dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan pasif yang berterusan untuk jangka panjang.

Ini kerana menerusi unit amanah PNB seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), masyarakat berpeluang melabur tanpa terdedah kepada risiko keterlaluan, melabur dengan modal kecil dan tidak perlu bimbang dengan ketidaktentuan persekitaran ekonomi kerana ia diuruskan oleh pengurusan profesional.

Ketua Jabatan Penyelidikan, MIDF Amanah Investment Bank Berhad Zulkifli Hamzah, berkata Malaysia unik kerana selain PNB, ada banyak dana umum domestik yang boleh dilabur yang menyediakan banyak peluang pelaburan untuk orang ramai terutamanya masyarakat Bumiputera.

"Sayangnya kurangnya pemahaman mengenai kewangan menyebabkan masyarakat tidak memahami konsep pelaburan yang sebenar dan gagal melihat pelaburan sebagai satu sumber pendapatan pasif," katanya dalam satu temubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sumber pendapatan pasif bermakna pelabur berpeluang memperoleh pendapatan tambahan daripada pelaburan mereka menerusi pulangan yang diterima setiap tahun.

Semakin besar pelaburan, semakin banyaklah pulangan yang boleh diharapkan, lebih-lebih lagi jika wang berkenaan dilaburkan dalam produk pelaburan yang kurang risiko dan mempunyai rekod cemerlang.

Orang ramai perlu melabur satu tempoh yang panjang supaya kuasa faedah kompaun dapat mengembangkan modal pelaburan mereka dari tahun ke tahun dan seterusnya menghasilkan satu tabungan yang kukuh sebagai sandaran kewangan.

Zulkifli berkata, rahsia faedah kompaun ini ialah pelabur tidak akan merasa kesannya di peringkat awal atau sekiranya pelaburan dibuat untuk tempoh pendek.

Katanya, pelabur perlu melabur untuk tempoh yang panjang, kerana semakin lama pelaburan dibuat, maka kesan gandaannya kepada modal pelaburan semakin terserlah.

"Justeru apabila melabur dalam unit amanah PNB, pelabur tidak boleh menganggapnya sebagai simpanan, sebaliknya melihatnya sebagai pelaburan dan memegangnya untuk jangka panjang," katanya.

Zulkifli berkata, walaupun PNB sinonim dengan Bumiputera kerana objektif penubuhannya lebih menumpu kepada usaha memperkasa ekonomi Bumiputera, namun keupayaan PNB dalam menguruskan pelaburan turut diiktiraf oleh pelabur bukan Bumiputera.


KETUA Jabatan Penyelidikan, MIDF Amanah Investment Bank Berhad Zulkifli Hamzah. - Foto Surianie Mohd Hanif

Sanggup beratur, menunggu

"Justeru, tidak hairan jika pelabur bukan Bumiputera sanggup beratur dan menunggu semata-mata mahu merebut peluang melabur dengan PNB," katanya.

PNB ialah pengurus dana untuk semua tabung unit amanah yang diuruskan anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Selain ASB, ASNB ketika ini menguruskan sembilan tabung unit amanah lain termasuklah ASB2, ASM, AS1M, ASD, ASW 2020, ASN, ASN2, ASN 3 dan ASG.

Sebagai pengurus dana, PNB bertanggungjawab mengatur strategi pelaburan untuk semua tabung unit amanah berkenaan dengan pelaburan dibuat dalam instrumen seperti bon, tunai dan ekuiti.

Zulkifli berkata, keputusan melabur untuk jangka panjang adalah berhubung kait rapat dengan pengetahuan kewangan kerana ada pandangan yang salah bahawa sesebuah produk pelaburan itu mempunyai konsep serupa dengan produk simpanan.

Malah, beliau berkata, Akta Perkhidmatan Kewangan baharu turut mempunyai penjelasan lanjut mengenai perbezaan antara kedua-dua jenis produk berkenaan.

"Jika orang ramai memahami konsep pendapatan pasif dan konsep pelaburan yang sebenarnya, mereka tidak akan menjadikan ASNB sebagai produk simpanan, iaitu boleh mengeluar atau memasukkan wang pada bila-bila masa.

"Malaysia unik kerana selain PNB, ada banyak dana umum domestik yang boleh dilabur. Jika orang ramai faham dengan konsep kuasa kompaun yang diberikan oleh produk pelaburan, mereka secara umumnya tidak akan berdepan masalah kewangan.

"Malah, jika mengamalkan disiplin menyimpan, mereka tidak perlu untuk meminjam dan sebagainya. Kita sukar untuk mengubah gaya hidup sebenarnya," katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata sebagai sebuah syarikat pengurusan modal, PNB sentiasa menjadi penanda aras kepada pengurus dana lain di negara ini.

Malah, PNB menjadi penanda aras pada peringkat jawatankuasa pelaburan kebanyakan pengurus dana tempatan berikutan prestasi kukuh yang dicatatkan sejak ia beroperasi pada awal 1980-an.

"Jika PNB boleh mengumumkan dividen 6.4 peratus contohnya, itulah penanda aras yang digunakan oleh pengurus dana tempatan.

"Kebanyakan pengurus dana tempatan menetapkan jangkaan untuk mencapai prestasi yang lebih baik berbanding PNB. Jika gagal mencapainya, pelaburan mereka akan diletakkan dalam senarai 'perlu diperhatikan'," katanya.

Beliau berkata, pencapaian cemerlang PNB sejak lebih 30 tahun lalu itu adalah hasil tadbir urus korporat dan tadbir urus pelaburannya yang sangat baik.

PNB, katanya, sudah menetapkan satu standard tadbir urus korporat dan pelaburan yang tinggi, justeru budaya itu memang sudah sentiasa disematkan dalam operasi syarikat berkenaan.

Amal tadbir urus berkesan

Malah, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) secara umumnya turut mengamalkan tadbir urus yang berkesan, khususnya selepas Program Transformasi GLC dilaksanakan sejak 10 tahun lalu.

"Itulah rahsia prestasi jangka panjang yang mapan. Sebagai contoh, sebelum saham berkaitan minyak dan gas menjunam, PNB sudah banyak mengeluarkan bahagiannya dalam sektor itu. Mereka sudah nampak bahawa kejatuhan dan impak industri minyak dan gas ini kepada pelaburannya.

"Justeru, itu mencerminkan proses tadbir urus yang baik. Disebabkan itulah juga pelabur bukan Bumiputera nampak kekukuhan dan kecekapan PNB," katanya.

Zulkifli berkata, beliau yakin sebagai pengurus dana, PNB mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan pelaburannya mampu memberi pulangan positif kepada pelabur.

Sebagai contoh katanya, keupayaan tabung AS1M yang diuruskan PNB memberi agihan pendapatan 6.4 peratus seunit baru-baru ini membuktikan keupayaan PNB dalam pengurusan pelaburan.

"Sebenarnya tidak mudah memberi pulangan sebanyak itu dalam persekitaran pasaran semasa. Namun, pengurusan pelaburan oleh mereka yang profesional dalam PNB menyebabkan PNB mampu memberi pulangan lebih tinggi berbanding institusi perbankan," katanya.

Beliau berkata, pengurusan masa ialah strategi penting bagi pengurus dana seperti PNB kerana ia tidak akan masuk dan keluar pasaran sesuka hati.

Katanya, jika unjuran tidak positif, pengurus dana tidak akan melabur dalam pasaran saham, sebaliknya mencari alternatif lain. Setiap keputusan pelaburan dinilai untuk memberi manfaat jangka panjang.

"Persekitaran pasaran saham yang agak tidak menentu ketika ini membolehkan pengurus dana tempatan seperti PNB dan KWSP mencari peluang pelaburan berkualiti untuk pulangan jangka panjang.

"Sewajarnya masyarakat mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dengan melabur dalam unit amanah ASNB seperti ASB, ASB2 dan ASD sepanjang tahun serta mengenepikan sentimen negatif yang biasanya tidak berasas," katanya.

Berita Harian X