Jumaat, 30 Oktober 2015 | 12:04am

Hikmah al-Quran: Berlumba buat kebajikan

PENDEKATAN berlumba-lumba untuk mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapat keampunan dan balasan di syurga.

FIRMAN Allah SWT: "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid, ayat 21)

Allah SWT membawa satu pendekatan motivasi dan semangat kepada hamba-Nya iaitu pendekatan berlumba-lumba untuk mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapat keampunan dan balasan syurga.

Berlumba taat, amal soleh

Keampunan Allah adalah matlamat yang ingin dicapai setiap Mukmin dan ia hanya boleh dicapai dengan perlumbaan mencari kebaikan di samping usaha bersungguh-sungguh bagi mencapainya serta sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. Ia tidak diperoleh jika sikap malas dan mengambil mudah menyelubungi diri.

Perlumbaan di sini membawa maksud perlumbaan melakukan ketaatan dan amal soleh yang berterusan. Allah SWT menceritakan sikap Nabi Zakaria melalui firman-Nya: "Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami." (Surah Al-Anbiya', ayat 90)

Rasulullah SAW menjelaskan, kebaikan perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Sabda Rasulullah SAW: "Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu dia gunakan harta itu pada jalan kebenaran, dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu dia amalkan ilmu itu serta diajarkannya kepada manusia lain." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hasad lihat orang lain dapat nikmat

Dalam kehidupan ini, jika seseorang mendapat nikmat dan kita rasa benci atau tidak suka dengan nikmat diperolehnya, inilah yang dikatakan hasad.

Jika kita tidak benci terhadap nikmat yang diperolehnya dan kita menginginkan supaya kita juga memiliki nikmat seumpama itu, inilah yang disebut sebagai ghibtah (hasad yang dibenarkan).

Ghibtah bermaksud rasa bangga dengan orang itu dan bercita-cita untuk mendapatkan kelebihan seperti mana diperoleh oleh orang itu. Sifat ini amatlah terpuji dan dikehendaki ada dalam diri setiap individu kerana hasad ini dapat mendatangkan kebaikan.

Hasad di sini memberi maksud perlumbaan secara sihat mencari sebanyak-banyak kebaikan untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW: "Bersegeralah kamu mengerjakan amal soleh, kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya Mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia Mukmin dan sebelah paginya kafir, dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit." (Riwayat Bukhari)

Fahami hakikat hidup

Semangat perlumbaan untuk mendapat keampunan dan kebaikan ini hanya tercetus kepada yang memahami hakikat kehidupan adalah tempat mencari bekalan untuk bertemu Allah SWT. Cuba kita soroti kisah tokoh tasauf terkenal, Hatim Al-Asham.

Apabila gurunya Syaqiq Al-Balkhi bertanya kepadanya apa yang diperolehnya setelah puluhan tahun menuntut ilmu. Hatim menjawab, aku mempelajari lapan perkara iaitu yang pertama, setiap makhluk yang ada di dunia ini pasti ada sesuatu yang dikasihi namun kebanyakan mereka mengasihi sesuatu yang hanya menemani mereka ketika sakit atau hingga ke kubur tetapi tidak bersamanya di dalam kubur.

Kedua, sememangnya manusia ini dilihat sering melakukan sesuatu semata-mata ingin memenuhi kehendak nafsu saja walau dengan apa cara sekalipun. Ketiga, manusia tidak pernah jemu daripada bercita-cita untuk menghimpunkan harta benda dunia ini sebanyak-banyaknya kemudian mereka menahan daripada menginfakkannya ke jalan Allah.

Keempat, aku mempelajari sesungguhnya sebahagian kita menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu adalah dilihat dari aspek ramainya orang dan pengikutnya. Kelima, ramai manusia saling memaki dan menghina serta mengumpat, ini semua berpunca daripada sifat hasad pada memiliki harta, kedudukan atau ilmu.

Keenam, aku melihat sesungguhnya manusia ini acap kali bermusuhan di antara mereka kerana satu tujuan atau satu sebab, maka musuh sebenar bagi manusia ialah syaitan. Ketujuh, manusia bersungguh-sungguh mencari rezeki sehinggakan ada yang mengambil rezeki dengan cara syubhat, haram lagi batil walaupun ia mengorbankan maruah dan nama.

Terakhir, aku mempelajari setiap orang memiliki sesuatu yang menjadi pegangan hidup dan yang kelapan, sebahagian kita menjadikan kekayaan serta pangkat sebagai pegangan hidup.

Berlumba kejar dunia cetus huru-hara

Jelas sekali, tiada sedikit pun kebaikan kepada mereka yang berlumba-lumba mengejar dunia semata-mata dan meninggalkan manhaj Allah SWT. Mereka hanya akan menimbulkan konflik, kerosakan dan huru-hara di bumi ini.

Sedangkan mereka yang berlumba-lumba untuk meraih apa yang disediakan oleh Allah SWT mampu mengangkat dan meninggikan darjat manusia. Sesungguhnya kenikmatan dunia itu hanya berlangsung sesaat dan sangat cepat menghilang.

Apa yang ada di sisi Allah akan kekal dan berterusan tanpa batas. Hal ini bertepatan firman Allah SWT: "Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." (Surah An-Nahl, ayat 96)

Berita Harian X