Jumaat, 30 Oktober 2015 | 12:02am
MENGGUNAKAN bulu mata palsu yang cantik diminati wanita.

Bulu mata pelengkap kecantikan

BULU mata panjang menjadi pilihan ramai terutama di kalangan selebriti antarabangsa.

JIKA diimbas aliran dunia kecantikan kebelakangan ini, bulu mata panjang menjadi pilihan ramai terutama dalam kalangan selebriti antarabangsa.

Bulu mata yang panjang dan lentik bukan hanya menjadi idaman setiap wanita, malah disifatkan sebagai pelengkap kecantikan serta keanggunan mereka.

Pelbagai cara digunakan untuk menambahkan seri dan gaya pada bulu mata, termasuk penggunaan bulu mata palsu yang dipelbagaikan dengan aksesori tambahan seperti bulu atau bertatahkan kristal, selain bulu mata yang disambung.

Malah, ada yang mengambil ubat tertentu untuk menjadikan bulu mata mereka tumbuh lebih panjang, lebat dan kehitaman, selain melakukan pemasangan bulu mata melalui pembedahan.

Bulu mata mengikut zaman

Zaman purba Mesir tahun 3500

Sebelum Masihi Mengimbau semula sejarah, wanita dan lelaki purba Mesir menggunakan salap pada bulu mata mereka bagi melindungi roh jahat, sekali gus mewujudkan imej dewa matahari yang digelar Re.

Salap yang biasanya berwarna hitam atau hijau juga digunakan sebagai penghalau serangga, selain turut membantu melindungi mata mereka daripada pancaran terik matahari di tengah padang pasir.

Golongan wanita zaman ini pula berasakan, penggayaan mata dan bulu mata dengan cara itu sebagai memberi kesan dalam membangkitkan syahwat.

Zaman purba Rom, tahun 753 Sebelum Masihi

Wanita Rom menyedari aliran semasa kecantikan dari Mesir dan India menggunakan celak yang disapu dengan kayu gading kecil untuk menghitamkan dan menebalkan bulu mata. Malah, ahli falsafah Rom, Plinius the Elder pernah mencatatkan bahawa 'adalah penting bagi wanita untuk menghitamkan bulu mata mereka sebagai lambang kehormatan diri.'

ERA Ratu Elizabeth pada tahun 1533 hingga tahun 1603.

Zaman pertengahan tahun 1066 hingga tahun 1485

Ketika perkembangan agama Kristian, penggunaan kosmetik semakin diketepikan berikutan kepercayaan bahawa Tuhan lebih menyenangi penampilan semula jadi seseorang. Malah, golongan wanita juga tidak digalakkan mendedahkan rambut mereka kepada khalayak sehingga ada di antara mereka mencukur kening dan bulu mata.

Ketika zaman ini, bahagian dahi dikira sebagai bahagian wajah wanita paling cantik dan erotik. Keadaan ini berterusan sehingga zaman Renaissance.

Era Ratu Elizabeth tahun 1533 hingga tahun 1603

Keadaan berubah ketika zaman pemerintahan Ratu Elizabeth pada tahun 1500-an apabila rambutnya yang merah keemasan mencetuskan inspirasi kepada wanita lain untuk turut mewarnakan rambut, bulu mata dan kening mereka dengan warna yang sama.

Era Victoria tahun 1837 hingga tahun 1901

Zaman Victoria disifatkan sebagai era romantik apabila penggunaan kosmetik semakin diterima semula tetapi kebanyakan wanita menggunakan bahan sedia ada di rumah seperti abu pendandang api atau serbuk arang untuk menghitamkan bulu mata dan kening mereka. Maskara pertama dikatakan dicipta oleh Eugene Rimmel, yang juga pakar minyak wangi kepada Ratu Victoria ketika itu.

Kemunculan maskara awal tahun 1900-an

Abad ke-20 membawa dua inovasi yang terus digunakan sehingga hari ini iaitu bulu mata palsu dan maskara.

Bulu mata palsu pertama dibuat secara teliti dengan menyambungkannya pada benang dan digam pada bulu mata. Ia dikatakan dimulakan oleh pengarah filem Amerika Syarikat, David W. Griffith pada tahun 1916 yang mahu memberikan kesan menyerlah dan menawan kepada pelakon wanitanya.

IKLAN lama Lash-Brow-Ine yang kemudian dinamakan sebagai Maybelline sempena nama kakak pencipta maskara, Tom Lyle di Chicago pada tahun 1915.

Maskara kemudian dibangunkan oleh Tom Lyle di Chicago pada tahun 1915 yang mendapat idea selepas melihat kakaknya, Mabel Williams menyapu Vaseline dan arang pada bulu matanya. Ia pada awalnya dinamakan sebagai Lash-Brow-Ine yang kemudian dinamakan sebagai Maybelline sempena nama kakaknya.

Kemunculan pelentik bulu mata tahun 1920-an dan tahun 1930-an

Tidak diketahui dengan jelas pencipta sebenar alat ini tetapi pada tahun 1931, William McDonell mendaftarkan paten ciptaannya yang dipanggil Kurlash. Ia tidak jauh beza daripada pelentik bulu mata yang digunakan sehingga hari ini yang dibuat daripada besi keluli yang mendapat ilham daripada bentuk gunting. Ia menjadi popular kerana mudah digunakan.

Bulu mata kalis air tahun 1940-an dan tahun 1950-an.

Ketika zaman ini, solekan mata amat diberikan penekanan dengan gaya mata kucing pada bahagian bulu mata atas yang menjadi aliran semasa. Pada awal tahun 40-an, maskara kalis air diperkenalkan dan menjadi amat popular.

Bulu mata gaya 'groovy'tahun 1960-an dan tahun 1970-an

Bulu mata penuh dan dramatik seperti labah-labah mendapat perhatian pada zaman ini. Malah, kebanyakan wanita terpengaruh dengan bulu mata brushstroke yang digayakan model terkemuka zaman ini, Twiggy.

Bulu mata tahun 1980-an dan tahun 1990-an

Solekan mata oleh Madonna ketika ini adalah antara yang popular termasuk bulu mata yang kelihatan seperti kipas. Malah, zaman ini turut mengalami kemunculan maskara berwarna-warni.

Tahun 2000-an

Tahun 2000-an menyaksikan perubahan dalam solekan bulu mata yang mengubah penampilan kebanyakan wanita. Pelbagai teknologi juga mengubah kemunculan bulu mata daripada penyambungan bulu mata hingga penggunaan bulu mata palsu yang menjadi pilihan artis seperti Jennifer Lopez untuk mendapatkan bulu mata yang lebih panjang.

JENNIFER Lopez mempunyai bulu mata yang cantik.

INFO

6 sebab bulu mata gugur

Kehilangan sehelai bulu mata sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu berasa aneh dan risau. Bagi lelaki, mungkin hal ini dianggap remeh tetapi wanita sering kali tidak dapat mengelakkan perasaan gelisah jika itu terjadi padanya. Lebih-lebih lagi, kecantikan mata adalah antara senjata utama untuk memikat pasangan.

Mekap
Penggunaan maskara, bulu mata palsu dan lain-lain yang tidak sesuai atau kerap, boleh menyebabkan bulu mata gugur. Begitu juga bagi yang memiliki kulit sensitif, masalah bulu mata kerap terjadi jika mengenakan mekap.

Gosok mata
Sering menggosok kelopak mata, apatah lagi secara kasar boleh menyebabkan bulu mata jatuh.

Genetik
Keturunan atau genetik boleh menjadi penyebab, malah ia sangat berpengaruh.

Kurang vitamin E
Kekurangan v itam in antara sebab bulu mata gugur. Justeru, amalkan multivitamin setiap hari. Namun, multivitamin bukan 'ubat ajaib' yang akan menumbuhkan semula bulu mata hanya dalam masa beberapa hari. Tetapi pengambilannya akan membantu merangsangkan penumbuhan bulu mata. Pastikan multivitamin yang diambil mengandungi Omega3 dan B kompleks.

Usia
Faktor usia sememangnya mempengaruhi lebat bulu mata anda. Apabila usia meningkat, maka tidak mustahil bulu mata anda juga akan gugur.

Tekanan
Stres atau rasa tertekan menyebabkan hormon tidak seimbang dalam badan atau tekanan psikologi, sekali gus ia turut memberi kesan sampingan pada bulu mata. Hal ini sama seperti rambut anda.

Berita Harian X