Khamis, 29 Oktober 2015 | 10:17am

Anuar Zain nyanyikan lagu Ungu

PENYANYI, Anuar Zain. - Foto Mohd Khairul Helmy

KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain bakal menyanyikan lagu Bila Tiba yang dipopularkan kumpulan Ungu di konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu ini.

Bagi Anuar, bukan mudah untuk menyampaikan sebuah lagu yang dinyanyikan vokalis Ungu, Pasha dengan sempurna.

"Saya akan cuba menghiburkan penonton yang hadir dengan cara yang tersendiri. Selain menyanyi, persembahan saya akan diselangi dengan kata-kata yang sarat dengan mesej positif bersesuaian dengan tema konsert itu.

"Pada pandangan saya, Pasha telah menyanyikan lagu Bila Tiba dengan begitu sempurna. Namun, saya anggap ia sebagai cabaran yang perlu dipikul bagi menyampaikan lagu itu dengan cara tersendiri.

"Oleh itu, saya akan menggubah lagu Bila Tiba mengikut kesesuaian vokal dan berbeza dengan cara Pasha menyanyikan lagu itu," katanya kepada BH Online.

Konsert anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Mawlaya Network Sdn Bhd itu membariskan artis hebat seperti Opick, Akim & The Majistret, Raihan, Ebiet G Ade, Humood Al Khudeer, Zain Bikha, Erra Fazira, Datin Umie Aida, Remy Ishak dan Ungku Ismail.

Pelantun lagu Keabadian Cinta itu turut berkongsi kisah dia sedang dalam proses menyiapkan album baharunya, namun tidak tergesa-gesa dengan menetapkan tempoh masa untuk menyiapkannya.

"Kebetulan kebanyakan lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini mengisahkan mengenai kesedihan dan putus cinta. Ia bukannya sesuatu yang dirancang sebaliknya berlaku secara tidak sengaja.

"Buat masa ini, enam lagu sudah dirakamkan dan saya masih mencari tiga buah lagu lagi. Saya tak mahu menetapkan jangka masa kerana berasa ia akan mengehadkan kreativiti penggubah dan pencipta lagu.

"Kadang kala idea dapat diilhamkan secara spontan lantas menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Oleh itu, saya lebih gemar menyerahkan mereka yang pakar untuk melakukan kerja mereka sebaiknya," kata Anuar.

Berita Harian X