Selasa, 27 Oktober 2015 | 4:08pm

FMBH 2015 lubuk rezeki butik terkenal


PENGUNJUNG beramah mesra bersama Prof Dr Muhaya Muhamad (dua dari kiri) pada Fiesta Muslimah BH di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE. - Foto Adi Safri

Kuala Lumpur: Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) yang berakhir kelmarin, menjadi lubuk rezeki untuk butik Modest Culture milik pakar motivasi, Prof Dr Muhaya Muhamad.

Pengurus Projek Modest Culture Sdn Bhd, Nur Adila Shahrom, berkata gerai butiknya mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang rata-rata adalah peminat Dr Muhaya untuk mendapatkan diskaun hebat ditawarkan sepanjang dua hari FMBH yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE (MECC).

Katanya, Modest Culture jarang mengadakan potongan harga untuk produknya, sebaliknya hanya ditawarkan pada acara tertentu.

Diskaun hingga 3o peratus


SESI motivasi bersama Prof Dr Muhaya Muhamad pada Fiesta Muslimah BH di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Kami menawarkan diskaun 10 hingga 30 peratus di FMBH. Ramai pengikut dan peminat mengambil peluang itu untuk membeli koleksi tudung dan jubah kami. Dengan pelbagai aktiviti bercorak interaktif, termasuk ceramah motivasi dan keagamaan dapat menarik minat orang mengunjungi fiesta itu.

"Pada FMBH 2015, kami memperoleh keuntungan lebih RM20,000 daripada hasil jualan sepanjang dua hari ini," katanya kepada BH, semalam, Nur Adila menyifatkan FMBH 2015 sebagai platform sesuai untuk orang ramai membeli-belah busana dan produk Muslimah.

Katanya, penyertaan Dr Muhaya yang turut memberi ceramah bertajuk Kesihatan, Kecantikan dan Fesyen, Sabtu lalu turut menjadi tarikan orang ramai untuk singgah di gerai Modest Culture. Pengunjung juga dapat berjumpa dan bergambar dengan Dr Muhaya.

Sesi ramah mesra


PENGUNJUNG beramah mesra bersama Prof Dr Muhaya Muhamad (tengah) pada Fiesta Muslimah BH di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE. - Foto Adi Safri

"Sesi ramah mesra dan sesi bergambar bersama Dr Muhaya selepas beliau selesai mengendalikan segmen ceramah motivasi menjadikan faktor pengunjung tidak pernah putus datang ke gerai kami.

"Kami juga menawarkan buku biografi Dr Muhaya untuk pembelian RM1,000 ke atas," katanya.

Nur Adila berkata, semua kakitangan Modest Culture yang bertugas menggayakan koleksi jubah 'terrific' pada hari pertama bagi memudahkan orang ramai melihat rekaan jubah dijual mereka.

"Orang ramai teruja apabila ditawarkan produk pada harga diskaun. Jika mereka membeli di butik kami di Kajang, kami menjual pada harga biasa serta dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)," katanya.

Ada pelanggannya yang datang dari Melaka untuk membeli-belah, selain mengikuti pelbagai aktiviti disediakan sepanjang FMBH 2015. "Koleksi jubah 'get it right platinum' yang dijual pada harga RM272 berbanding harga asal RM389 juga habis dijual sepanjang dua hari fiesta ini," katanya.

Modest Culture juga menyediakan khidmat deejay untuk memancing pelanggan, selain membuat promosi di laman sosial seperti Facebook dan Instagram Modest Culture Dr Muhaya.

Justeru, Nur Adilah menyarankan FMBH dijadikan acara tahunan kerana ia memberikan banyak manfaat kepada golongan sasaran.

"Bagaimanapun, saya berharap acara ini dipertingkatkan dalam pelbagai aspek khususnya dari segi promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung," katanya.

Bagi menghargai pengunjung pada FMBH 2015, Modest Culture juga mengedarkan 100 buku tulisan Dr Muhaya berjudul Celik Mata dan Jiwa berharga RM25 dan 100 tudung daripada koleksi Gorgeous berharga RM49 sehelai.


SESI motivasi bersama Prof Dr Muhaya Muhamad pada Fiesta Muslimah BH di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Berita Harian X