Selasa, 27 Oktober 2015 | 12:02am
CALON SPM dari Pulau Tanjung Aru mengulangkaji pelajaran ketika menunggu bot di jeti berhampiran Pasar Umum Sandakan, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PELAJAR tingkatan lima dari Pulau Tanjung Aru berbincang mengenai pelajaran ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka. - Foto Poliana Ronnie Sidom
BOT penambang adalah pengangkutan utama bagi pelajar dari Pulau Tanjung Aru untuk ke sekolah di bandar Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
SITI Safwanah Jumat (kiri) dan Norazlin Malik. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Sanggup dilambung ombak buru kejayaan SPM



DILAMBUNG ombak tidak kira hujan atau panas selain berdepan detik cemas bot rosak di tengah laut, sudah menjadi asam garam bagi dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sandakan, sejak hampir lima tahun lalu.

Siti Safwanah Jumat, 17 dan rakannya, Norazlin Malik, 17, yang tinggal di Pulau Tanjung Aru, kira-kira dua kilometer dari sini, berulang-alik selama 20 minit setiap hari untuk ke sekolah di bandar ini dan pengalaman getir itu tidak pernah melunturkan semangat mereka untuk meraih keputusan cemerlang dalam SPM, bermula minggu depan.

Seawal jam 6 pagi setiap hari, Siti Safwanah dan Norazlin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan, berada di jeti untuk menaiki bot penambang bersama rakan lain dan hanya kembali ke rumah lewat petang selepas mengikuti kelas tambahan.

Siti Safwanah, anak bongsu daripada enam beradik antara pelajar harapan dan ditempatkan dalam Kelas Rancangan Khas (KRK) yang diwujudkan di sekolah itu sejak tahun 2009, selepas pencapaian membanggakan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan 6A, 2B.

Ketika ditemui, Siti Safwanah berkata, pernah beberapa kali enjin bot dinaiki bersama pelajar lain rosak di tengah laut ketika pulang dari sekolah menyebabkan bot dilambung ombak dan hampir terbalik, sebelum berjaya dibaiki.


SITI Safwanah Jumat (kiri) dan Norazlin Malik mengulangkaji pelajaran ketika menunggu bot di jeti berhampiran Pasar Umum Sandakan, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Pernah juga beberapa kali dia lewat tiba ke sekolah kerana hujan lebat selain bot yang sepatutnya dinaiki rosak menyebabkan mereka terpaksa menunggu bot lain.

"Tiada kejadian lebih teruk selain bot rosak di tengah laut. Kalau lewat ke sekolah guru beri pertimbangan kerana tahu kesukaran pelajar yang datang dari pulau," katanya.

Safwanah yang bercita-cita menjadi guru matematik berkata, pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya belajar bersungguh-sungguh kerana mahu mengubah nasib keluarga dengan bapa cuma bekerja sebagai imam kariah dan nelayan pada waktu lapang, manakala ibunya pengusaha ikan masin.

Katanya, faktor kemiskinan selain kejayaan lima abang dan kakaknya melanjutkan pengajian ke universiti dan memperoleh pekerjaan baik termasuk bergelar pegawai bank, mendorongnya berusaha lebih gigih.

"Saya harap mampu mendapat keputusan yang baik dalam SPM dan melanjutkan pengajian ke universiti untuk menjadi guru matematik," katanya.

Safwanah berkata, selain menumpukan perhatian terhadap pelajaran di kelas dan mengikuti kelas tambahan, dia tidak melepaskan peluang menelaah pelajaran di rumah pada waktu malam selepas membantu ibu menjemur ikan masin.


PELAJAR dari Pulau Tanjung Aru bergantung kepada bot penambang untuk ke sekolah di bandar Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

BH turut berpeluang merasai pengalaman pelajar dari pulau yang bergantung kemudahan bot penambang sebagai pengangkutan utama ke sekolah.

Bau diesel selain deruan enjin yang membingitkan telinga dan ditambah keadaan bot yang terhentak ketika meluncur mencecah 60 kilometer sejam membelah lautan, menyebabkan rasa pening kepada penumpang yang tidak biasa apabila turun ke darat.

Turut mendebarkan adalah keadaan laut bergelora dan berombak menyebabkan pengangkutan air itu terumbang-ambing apabila berselisih dengan bot lain di tengah laut.

Seperti Safwanah, Norazlin, anak bongsu daripada dua beradik juga pernah berdepan pengalaman getir bot rosak di tengah laut, namun mujur ada bot lain membantu membaiki enjin sebelum mereka meneruskan perjalanan.

Katanya, dia menaruh harapan sama agar memperoleh keputusan yang baik dan melanjutkan pengajian ke universiti untuk mencapai cita-cita sebagai guru demi mengubah nasib keluarga yang bergantung terhadap pendapatan bapanya sebagai nelayan tradisional.

"Saya buat pelbagai persediaan untuk berdepan SPM dan mahu buktikan anak pulau seperti kami juga boleh berjaya seperti rakan lain di bandar," katanya.


PEMANDANGAN dari udara menunjukkan Kampung Tanjung Aru.

Pengetua SMK Sandakan, Rodiah Ahmad Untong, berkata kira-kira 300 pelajar dari lapan pulau sekitar daerah ini belajar di sekolah itu dengan 266 tinggal di asrama, manakala selebihnya berulang-alik.

"Ramai anak pulau berjaya kerana kegigihan mereka, selain didorong sikap ibu bapa yang memberi sokongan dalam setiap program di sekolah. Biarpun tinggal di pulau, mereka gigih belajar dan ia perlu dicontohi pelajar lain di bandar," katanya yang menyasarkan kelulusan 100 peratus sekolah itu dalam SPM tahun ini dengan nilai gred purata 4.5 .

Rodiah berkata, pelbagai program dilaksanakan untuk membantu pelajar luar bandar termasuk di pulau mencapai keputusan cemerlang, antaranya kelas tambahan setiap Isnin hingga Sabtu, program motivasi, latih tubi selain bekerjasama dengan ibu bapa dari pulau untuk memantau perkembangan anak mereka.

16 dibaca
Berita Harian X