Isnin, 26 Oktober 2015 | 5:33pm

Kehabisan vaksin 5 serangkai akan diatasi - Subramaniam

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto Muhd Asyraf Sawal

IPOH: Kementerian Kesihatan akan menyelesaikan masalah kehabisan bekalan vaksin 5-Serangkai (DTaP-IPV//HiB) sejak Jun lalu kepada fasiliti kesihatan swasta, kata Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan bersama syarikat pembekal dan konsesi mengenai perkara itu.

"Itu (kehabisan vaksin) tidak menjadi masalah. Kita akan selesaikan perkara ini dan memastikan tindakan diambil melalui perbincangan bersama dengan syarikat pembekal.

"Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan akan diteruskan tanpa sebarang halangan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan diploma lanjutan dan sijil pada Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKMM) Zon Semenanjung di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seluruh dunia menghadapi masalah bekalan vaksin untuk imunisasi penyakit berjangkit bayi dan hanya hanya terdapat satu syarikat pembekal tunggal untuk memenuhi permintaan global.

Keadaan ini memberi impak kepada perkhidmatan imunisasi negara yang mana bekalan vaksin kepada kemudahan kesihatan swasta terputus dan bekalan stok penimbal di kemudahan kesihatan kerajaan dan syarikat konsesi juga menurun.

Mengenai pengumuman Bajet 2016 yang tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas ubat bagi 30 jenis penyakit seperti kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung, Dr Subramaniam berkata ia turut memberi manfaat kepada rakyat yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik atau hospital swasta.

"Ini memberi implikasi khusus kepada pesakit yang mendapat rawatan daripada sektor swasta kerana dengan pemansuhan GST, harga ubat di klinik atau hospital swasta akan turun," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian itu akan memberi tumpuan dengan mengurangkan pembaziran dan ketirisan berikutan pengurangan peruntukan Bajet 2016 bagi kementerian berkenaan.

"Kementerian akan memberi tumpuan dalam kecekapan menggunakan dana bagi memastikan pengurusan dilaksana dengan lebih efisien. Sekiranya perkara ini diberi tumpuan, saya yakin kita tetap memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat walaupun peruntukan berkurangan," katanya

- BERNAMA

Berita Harian X