Isnin, 26 Oktober 2015 | 10:36am

Klopp terus kempunan


PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (tengah) bersama pemainnya selepas tamat perlawanan menentang Southampton di Anfield. - Foto AFP

LONDON: Jurgen Klopp terus kempunan raih kemenangan sebagai pengurus Liverpool, apabila aksi sulung di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) turut berakhir dengan keputusan seri.

Ini adalah kali ketiga keputusan sama dicatat pengendali dari Jerman itu sejak mengambil alih tugas sebagai peneraju di Anfield pada 8 Oktober lalu.

Sebelum ini, The Reds turut seri dengan Tottenham Hotspur dalam saingan EPL di laman lawannya itu dan kelab Rubin Kazan pada aksi Liga Europa.

Dalam perlawanan di Anfield itu, anak buah Klopp lebih dulu berada di depan menerusi jaringan e Christian Benteke sebelum disamakan oleh Sadio Mane bagi kedudukan 1-1.

Selepas kehilangan penyerang Daniel Sturridge, akibat kecederaan, Klopp terpaksa menaruh harapan pada Benteke dan penyerang Belgium itu pantas membalas kepercayaannya itu menerusi tandukan hebat pada minit ke-77 buat menyudahkan umpanan James Milner.


TANDUKAN penyerang Liverpool, Christian Benteke (kiri) pada minit ke-77 yang menghasilkan gol ketika aksi bertemu Southampton di Anfield. - Foto AFP

Tatkala penyokong tuan rumah bersedia meraikan kemenangan pertama Klopp itu, sejak mengambil alih teraju daripada Brendan Rodgers yang dipecat, Mane tampil untuk menyamakan kedudukan.

Pemain Senegal itu kemudian dibuang padang akibat dua kad kuning, namun pasukannya terus berjaya bertahan sehingga wisel penamat bagi berkongsi mata.

Keputusan itu menyaksikan Southampton berada di tangga kelapan senarai EPL, manakala Liverpool setakuk dibawah, biarpun kedua-duanya menghimpun 14 mata.

- AP

Berita Harian X