Khamis, 2 Oktober 2014 | 12:55pm
LOKASI seorang murid sekolah yang maut setelah terjatuh dari siling Dewan Serbaguna di dalam sekolah. - Foto Eizairi Shamsudin

Tiada elemen buli kematian pelajar jatuh siling di Kangar - Polis

KANGAR: Polis Perlis hari ini mengesahkan tiada elemen buli dikesan dalam kes kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga yang terjatuh dari siling dewan sekolahnya di sini, pagi semalam.

Ia disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berdasarkan siasatan dan rakaman percakapan dilakukan terhadap guru dan rakan mangsa di sekolah itu pagi tadi.

"Hasil siasatan menunjukkan tiada kemungkinan mangsa dibuli. Sebaliknya, polis akan terus menyiasat kemungkinan pelajar itu memanjat ke siling dewan yang dikatakan untuk mengambil bola takraw kerana mangsa dan rakannya dikatakan bermain sepak takraw berdekatan dewan ketika sesi pendidikan jasmani sebelum waktu rehat," katanya.

Sejak semalam pelbagai spekulasi timbul mengenai kejadian menimpa pelajar terbabit, Muhamad Hakimi Zulkifli, 15, termasuk ada yang mendakwa mangsa dibuli rakan sekolah sehingga terpaksa memanjat siling setinggi kira-kira 12 meter untuk mengambil bekas pensilnya sebelum terjatuh sehingga maut.

23 dibaca
Berita Harian X