Sabtu, 24 Oktober 2015 | 11:33pm

FMBH 2015 martabat industri fesyen Muslimah

SEGMEN pertunjukan fesyen koleksi tudung Marshmallow pada Fiesta Muslimah BH 2015. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) kali kedua BH mencapai objektifnya dalam usaha memartabatkan industri fesyen Muslimah tempatan, selain menggabungkan usahawan pelbagai bidang di bawah satu bumbung.

Bazar berkonsepkan Interaktif, Inspirasi dan Fesyen, di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), yang bermula hari ini sehingga jam 8 malam esok, menjadi landasan kepada usahawan dalam talian menjual produk masing-masing pada skala lebih besar.

Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali, berkata FMBH akan diteruskan tahun hadapan berikutan sambutan menggalakkan tahun ini.

"Skala penganjuran kali ini lebih besar dengan 100 gerai jualan merangkumi busana Muslimah, makanan, minuman dan aksesori fesyen.

"Kita menerima banyak permintaan daripada usahawan untuk menyertai FMBH, namun bilangannya dihadkan kepada 100 gerai jualan.

"Melihat reaksi positif ini, kita harap dapat mengadakannya pada skala lebih besar," katanya pada sidang media selepas perasmian FMBH 2015, yang disempurnakan selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa.

Yang turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman; Pengarang Eksekutif Berita/Rencana dan Digital, Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Putri Shireen Syed Othman dan Pengerusi FMBH 2015, Jami'ah Sokri.

(DARI kiri) Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Putri Shireen Syed Othman; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali; pelakon, Neelofa serta Pengerusi FMBH 2015, Jami'ah Sokri pada perasmian Fiesta Muslimah BH di Dewan Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur.‪ - Foto Adi Saf

Mahfar berkata, FMBH 2015 bukan hanya mengetengahkan usahawan fesyen, tetapi turut diisi dengan pertunjukan fesyen, program bual bicara, demonstrasi masakan dan tutorial tudung serta acara cabutan bertuah.

Sementara itu, Jami'ah berkata, selain menghimpunkan usahawan tempatan di bawah satu bumbung, FMBH 2015 mengetengahkan jenama baharu dan membawa produk terkini terus kepada pelanggan.

"Pengguna dapat melihat produk ingin dibeli menerusi konsep jualan bazar, manakala usahawan menjadikannya sebagai platform mempromosikan produk usahawan butik fizikal dan perniagaan dalam talian," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Neelofa berkata, usahawan perlu merebut peluang ditawarkan FMBH 2015 kerana BH mempunyai kuasa pengiklanan besar dalam industri.

"Sebagai usahawan, kita mahu produk dipasarkan oleh jenama diyakini seperti BH," katanya.

Antara pengisian program esok adalah segmen bual bicara Refleksi Muslimah yang disertai pelakon, Yana Samsudin; bekas model, Suhara Omar, demonstrasi masakan Mi Sedaap, tutorial tudung Naelofarhijab dan Zeta, pertunjukan fesyen oleh Cosry dan persembahan nyanyian Ayda Jebat, Adira dan Asfan.

Selain itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) menawarkan pembiayaan Skim Perumahan Belia kepada 20,000 belia untuk memiliki rumah pertama, selain sesi bersama Sunsilk,

Pengangkutan percuma disediakan dengan kekerapan setiap 30 minit dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke MECC, bermula jam 10 pagi hingga 8 malam.

ANTARA aktiviti di gerai jualan di Fiesta Muslimah BH 2015, di Dewan Pusat Pameran dan Konvensyen, hari ini. - Foto Adi Safri

INFO

FMBH 2015

Tempat: Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC)

Tarikh: 24 Oktober (Sabtu) dan 25 Oktober (Ahad)

Masa: 10 pagi hingga 10 malam (Sabtu), 10 pagi hingga 8 malam (Ahad)

Galeri gambar sekitar FMBH: http://www.bharian.com.my/node/91714

Berita Harian X