Sabtu, 24 Oktober 2015 | 10:53pm

Fiesta Muslimah BH rezeki besar buat peniaga


GERAI jualan di Fiesta Muslimah BH 2015, Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Pengunjung dan pempamer menyambut baik penganjuran Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) dan menyifatkannya memberi kelainan tersendiri.

Mereka berpandangan ia harus diteruskan dan dijadikan acara tahunan BH, selain mengharapkan penganjuran dalam skala lebih besar diadakan bagi membuka ruang lebih ramai usahawan mempromosi produk.

Walaupun jadual ketibaan tetamu pada jam 10 pagi, lebih 100 pengunjung beratur di pintu masuk Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) seawal jam 8 pagi untuk merebut peluang mendapatkan hadiah istimewa.

Gerai milik pelakon dan pengacara popular, Neelofa, antara yang menjadi tumpuan menerusi produk tudung, Naelofarhijab,

Selebriti yang turut serta ialah penyanyi Najwa Latif, Caliph Buskers, Hafiz Hamidun, Norman Hakim dan isteri, Memey Suhaiza serta pempamer popular seperti Marshmallow, Zareeth Zehra, Yaya Rosly, Neng Geulis, selain pempamer kian meningkat naik, Kasutcomel88.

Pempamer Bites By Melly Molly, Mohd Hizzat Radi, 25, berkata penganjuran fiesta itu memberi rezeki besar kepada peniaga tempatan sepertinya.

"Ini kali pertama saya menyertai program anjuran BH dan saya bertuah kerana cuma ada beberapa pempamer menjual makanan dan minuman.

"Saya harap dapat menyertai acara ini lagi pada tahun depan," katanya.

Pempamer pakaian moden Muslimah, Losravelda, Puteri Emira Mohd Azlan, 22, berkata peluang diberi BH kepada usahawan tempatan direbut sebaik mungkin untuk mempromosi produk dihasilkan.

"Sebagai usahawan muda tempatan yang baru bertatih dalam industri fesyen Muslimah, kami memerlukan sokongan seperti promosi dan pengiklanan.

"BH adalah medium terbaik kami untuk memperkenalkan produk," katanya.

Pengunjung yang juga pembaca setia BH, Wan Aemy Amalina, 34, berkata sokongannya terhadap BH tidak pernah pudar dan sentiasa menyokong penganjuran acara akhbar itu.

"Lokasi ini strategik dan selesa. Walaupun ada pekerjaan tetap sebagai setiausaha, saya datang bukan sekadar membeli busana tetapi juga mahu meluaskan jaringan perniagaan," katanya.

Pengunjung, Farah Diyana Tasaruddin, 30, sudah seawal jam 9 pagi kerana tidak mahu terlepas peluang mendapatkan apa yang dihajati.

"Beberapa pempamer kegemaran saya memuat naik program ini di Instagram dan saya dapati acara ini mampu merapatkan hubungan kekeluargaan," katanya.

Norhazlin Muzid, 29, sanggup datang dari Sabah untuk menemani isteri, Susiarina Mohd Hasry, 29, membeli pakaian jenama kegemaran.

"Isteri sukakan jenama pakaian artis Memey Suhaiza, Meylana. Kami ambil kesempatan untuk membeli-belah di sini dan dapat berjumpa artis kegemaran isteri," katanya.

Berita Harian X